Khamis, 20 November 2014

Pembantu Khalid berhak terima pampasan - Abu Hassan

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic


SHAH ALAM: Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abu Hassan Omar berpendapat pemberian pampasan dibolehkan kepada mana-mana kakitangan, meskipun mereka memilih untuk meletakkan jawatan secara sukarela.

Bagaimanapun katanya, ia tertakluk kepada syarat-syarat dan prosedur tertentu.
 
"Formulanya berdasarkan gaji terakhir dan selama mana mereka berkhidmat. Oleh itu perlu ada pengiraan tertentu yang boleh digunakan sebelum pembayaran dilakukan. 
 
"Ia mengikut peraturan, sebagaimana di dalam (persetujuan) khidmat masing-masing apabila menjadi pegawai kepada sesuatu organisasi atau jabatan. Ia juga berdasarkan peraturan-peraturan tertentu," katanya ketika dihubungi Antarapos, hari ini.
 
Abu Hassan diminta mengulas kewajaran meluluskan peruntukan pampasan bernilai RM2.6 juta kepada lapan pembantu bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
 
Kesemua mereka meletak jawatan secara sukarela akibat pertukaran pucak pimpinan negeri kepada Menteri Besar Selangor baru, Azmin Ali.
 
Dikhabarkan bekas Ketua Eksekutif (CEO) MBI, Faekah Husin menerima hampir RM700,000 sementara setiausaha akhbar Khalid, Arfa'eza Abdul Aziz menerima sejumlah RM400,000 manakala setiausaha politiknya pula, Mustapa Mohd Talib menerima pampasan bernilai RM265,000.
 
Jumlah pampasan itu mencetuskan kontroversi kerana ia melibatkan nilai yang besar, apatah lagi diluluskan di kala penghujung khidmat Khalid, yang juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah MBI ketika itu.
 
Selain Khalid, peruntukan berkenaan turut diluluskan oleh dua lagi ahli lembaga pengarah MBI, iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Khusrin Munawi dan Pegawai Kewangan Negeri.
 
Terdahulu Khusrin berkata tindakan akan diambil sekiranya pembayaran pampasan berkenaan gagal mematuhi kesemua prosedur yang ditetapkan.
 
Beberapa hari lalu Azmin percaya wujud unsur penyelewengan di dalam isu pampasan tersebut berdasarkan siasatan yang dijalankan oleh Jabatan Audit Negeri.

Tiada ulasan: