Khamis, 20 November 2014

Pelarian didakwa dianiaya di pusat tahanan M'sia

MALAYSIAKINI


 


Pelarian yang berusaha mendapatkan suaka didapati dipukul, kelaparan dan diperguna oleh pihak berkuasa di dua pusat tahanan Malaysia, di tengah-tengah dakwaan amalan rasuah oleh kakitangannya.

Pendedahan oleh Al Jazeera melalui pendedahan berjudul “Malaysia’s Unwanted” itu menunjukkan pelarian dirantai dan digari, dan ada yang tidak menjamah makanan untuk beberapa hari.

Wartawan rancangan “101 East” Steve Chao menemui keadaan dahsyat dan salah layanan terhadap pelarian oleh pihak berkuasa negara ini.

Beliau juga mendakwa bahawa pejabat Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) – yang bertanggungjawab membantu pelarian – sebaliknya terlibat dalam rundingan korup.

Chao mendakwa pelarian diletakkan dalam sel yang padat hampir 24 jam sehari.

Beliau juga mendapati terdapat kanak-kanak ditahan – suatu yang bertentangan dengan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung hak kanak-kanak; dan menemui wanita ditahan selepas beberapa jam melahirkan anak.

Di Malaysia, pelarian tidak mendapat pelindungan undang-undang kerana negara ini tidak menandatangani konvensyen PPB yang mengiktiraf pelarian.

Ini bermaksud mereka boleh ditahan pada bila-bila masa dan dimasukkan ke pusat tahanan.

Kuala Lumpur antara negara yang mempunyai populasi terbesar pelarian dan pemohon suaka, sekitar 150,000 orang.

Tiada ulasan: