Ahad, 16 November 2014

Pati di Sabah: Laporan RCI perlu dibentang di parlimen

MUHAMMAD FAIZAL


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak digesa agar membentangkan di parlimen laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang menyiasat isu pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah bagi membolehkan perkara itu dibahas oleh ahli-ahli parlimen.

Ahli  Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar memberitahu, Najib tidak sepatutnya takut untuk membentangkan laporan tersebut.

"Kenapa Najib perlu membentangkan laporan tersebut pada bulan hadapan dan kenapa ia dibentangkan kepada umum.

"Sepatutnya ia terlebih dahulu dibentangkan di parlimen untuk ahli-ahli parlimen membahaskan perkara tersebut dan mungkin ada pendapat untuk kita suarakan.

"Najib perlu berani mendedahkannya, ia juga dilihat sebagai menghormati intitusi parlimen yang kita ada," katanya kepada Harakahdaily.

Ketua Penerangan PAS Pusat itu juga turut berpendapat, jika Najib tetap mencadangkan untuk memdedahkan pada awal bulan hadapan ia perlu mengadakan sidang khas parlimen.

"Jika beliau tetap mahu mendedahkan pada bulan hadapan, Najib boleh memanggil sidang khas selama dua hari.

"Seperti mana yang dilakukan ketika tragedi pesawat MAS MH17 tempoh hari," sambung beliau.

Menurut beliau lagi, peruntukan bagi siasatan RCI itu telah diluluskan melalui parlimen, tindakan membelakangi parlimen dilihat sebagai tidak menghormati intitusi yang ada.

Najib yang membuat keputusan tersebut pada mesyuarat kabinet Jumaat lepas memaklumkan laporan RCI itu akan dibentangkan kepada umum awal bulan depan.

RCI yang ditubuhkan pada 11 Ogos 2012 telah dipengerusikan  bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim.

Turut dianggotai bekas naib canselor Universiti Malaysia Sabah Prof Datuk Seri Dr Kamaruzaman Ampon, bekas Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Henry Chin Poy Wu, bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Kee Mustafa dan bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah dan bekas Peguam Besar Negeri Sabah Tan Sri Herman J. Luping. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: