SHAH ALAM – Keputusan kerajaan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) merupakan langkah tepat, selaras dengan realiti negara yang terbuka lagi dinamik.

Bekas Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Syed Ibrahim Syed Noh mendakwa, ISA merupakan satu akta yang mengekang prinsip keadilan dan kuasa.

Jelasnya, kewujudan akta tersebut menyebabkan lahirnya kongkongan ke atas demokrasi dan kebebasan bersuara rakyat.

"Saya memahami keselamatan negara tidak boleh diabaikan dan kedudukan Malaysia di mata dunia juga perlu dijaga demi kesejahteraan negara dan rakyat.

"....Namun keadilan dan kebebasan insan sama sekali tidak boleh digadaikan," katanya menerusi kenyataan sebagai respons terhadap kenyataan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad yang menentang pemansuhan akta itu.

Menurut Syed Ibrahim, beliau agak kecewa dengan aliran hujah yang disampaikan Abdul Hamid.
“Adakah semata-mata kerana faktor kedudukan negara di mata dunia dijadikan sandaran untuk ISA dikembalikan?

“Apakah sebenarnya hujah dan asas dalam menggubal dan memansuhkan sesebuah akta atau peruntukan undang-undang?” katanya lagi.

Semalam, Abdul Hamid menyifatkan keputusan kerajaan memansuhkan Akta ISA sebagai satu kesilapan.

[ARTIKEL BERKAITAN: Keputusan mansuh ISA satu kesilapan

Terdahulu, pada 15 September 2011, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pemansuhan akta tersebut ketika menyampaikan perutusan khas Hari Malaysia sempena sambutan Hari Malaysia 2011.