Ahad, 16 November 2014

Mangsa culik di Sabah mesti diselamatkan

HARAKAHDAILY


KUALA LUMPUR: Walaupun Sabah yang menjadi destinasi yang paling digemari pelancong terutamanya daripada Republic Rakyat China (RRC) tetapi mengalami penurunan yang amat ketara.

Menurut Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching setakat ini pasaran China dan Taiwan paling ketara mengalami penurunan sebanyak 11.8 % dan 2.9% masing-masing bagi tempoh Januari – Julai 2014 berbanding tempoh yang sama pada tahun 2013.

Tambahnya, jumlah ketibaan pelancong asing daripada Negara China adalah seramai 997,370 orang dan dari Taiwan seramai 168,962 orang pada sehingga bulan Julai 2014.

Katanya, menurut jawapan yang dibekal oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Malaysia telah menerima seramai 13.8 juta orang pelancong asing sejak Januari hingga Jun 2014, ini  menunjukkan peningkatan sebanyak 10.5%, berbanding dalam tempoh yang sama pada tahun 2013 tetapi pelancong dari China ke Sabah mengalami penurunan.

“Berdasarkan kenyataan yang diberikan oleh Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dalam sidang Parlimen baru-baru ini, sebanyak 30,000 tempahan yang telah dibatalkan atau ditangguhkan di mana seramai 8,913 tempahan merupakan kehilangan muatan penumpang akibat pembatalan sebanyak 76 penerbangan berjadual dan sewa khas dari China ke Sabah,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Antara faktor yang menjadi punca penurunan tersebut adalah disebabkan kes kehilangan pesawat MH370 dan penculikan yang sering kali berlaku di kawasan tersebut.

Setakat ini, kata beliau sudah 5 kes penculikan yang melibatkan warga asing dan seorang polis marin.

Antaranya, kes serangan hendap yang berlaku pada 12 Julai 2014 di Jeti Smart Water Bungalow Resort, Pulau Mabul Semporna, telah menyebabkan seorang anggota polis marin iaitu Koperal Ab Rajah Jamuan, terbunuh manakala Konstabel Zakia Aleip, 26, hilang dipercayai dilarikan.

Selain itu, pengusaha pusat ternakan ikan dalam sangkar, Chan Sai Chiun diculik oleh dua lelaki bersenjata di Kampung Air Sapang, Kunak pada 16 Jun 2014.

Setakat hari ini, Konstabel Zakia Aleip dan Chan Sai Chiun masih belum dibebaskan dan berkumpul bersama keluarga.

“Saya berharap kerajaan Malaysia dapat menyelamatkan mereka dengan cara apa sekalipun,” tambah Nie Ching.

Selain itu, ujarnya kerajaan Malaysia patut memberikan tekanan kepada kerajaan Filipina untuk membanteras kegiatan pengganas yang semakin menjadi-jadi terutamanya di selatan Filipina supaya tragedi itu tidak berlaku lagi. HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: