Rabu, 5 November 2014

Keputusan Tribunal Timbang Tara Berpihak Kepada Malaysia

MSTAR ONLINE
 
 


SINGAPURA: Keputusan oleh Mahkamah Tetap Timbang tara baru-baru ini ke atas isu berkaitan tuntutan pembangunan mengikut Keputusan Perjanjian (POA) ke atas sebidang tanah bekas milik Keretapi Tanah Melayu (KTM) di Singapura, memihak kepada Malaysia, kata rakan Pengurusan Pengetahuan ZICOlaw Paul Subramaniam.

Beliau berkata perjanjian pertukaran tanah itu bertujuan memecah kebuntuan mengenai pemindahan Stesen Tanjung Pagar di Singapura, milik KTM, ke Woodlands.

Subramaniam berkata Perdana Menteri Datuk Najib Razak dan rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong pada tahun 2010, bersetuju bahawa tapak Tanjung Pagar dan tanah KTM di Kranji, Woodlands dan Bukit Timah di Singapura ditukarkan dengan tanah di Ophir-Rocher dan Marina South, juga di Singapura.

Kawasan Kranji, Woodlands dan Bukit Timah akan dimajukan oleh sebuah syarikat, M+S Pte Ltd, syarikat usaha sama 60:40 antara Khazanah Nasional Bhd dari Malaysia dan Temasik Holdings Singapura.

"Perjanjian antara kedua-dua perdana menteri itu terkandung dalam POA. Bagaimanapun, pertikaian muncul membabitkan tafsiran POA iaitu sama ada Singapura boleh mengenakan caj pembangunan tanah standard ke atas tiga tapak yang dianggarkan sebanyak SG$1.4 bilion," kata Subramaniam kepada Bernama.

Isu itu dirujuk kepada Mahkamah Tetap Timbang tara susulan persetujuan antara pihak-pihak yang terlibat.

Pada 30 Okt, Mahkamah Tetap Timbang tara bersetuju dengan tafsiran Malaysia terhadap POA dan memutuskan bahawa Malaysia tidak perlu membayar semua atau sebarang caj pembangunan untuk kawasan Kranji, Woodlands dan Bukit Timah kepada Singapura.

"Ini merupakan kejayaan Malaysia, namun yang lebih penting, ia membolehkan pembangunan yang tertangguh akibat perbezaan tafsiran ke atas POA antara Malaysia dan Singapura, diteruskan.

"Seperti yang telah dinyatakan, pembangunan itu akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara melalui syarikat usaha sama Khazanah Nasional dan Temasik Holdings, M+S Pte Ltd," kata Subramaniam.

ZICOlaw Knowledge menyediakan penerbitan terkini mengenai perubahan kawal aturan undang-undang, analisis perbandingan undang-undang dan maklumat mengenai perspektif perniagaan di Asean.

ZICOlaw ialah rangkaian bersepadu perundangan bebas dan penyedia perkhidmatan profesional yang berkaitan, di rantau ini, dengan operasi di Australia, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Singapura, Thailand, dan Vietnam.

Tiada ulasan: