KUALA TERENGGANU - Hujan lebat dan sederhana di kebanyakan tempat menyebabkan beberapa kawasan rendah di Terengganu dilanda banjir kilat hari ini.

Kawasan terbabit ialah kampus Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Pulau Duyung, Jalan Kamaruddin dan Bukit Payong di Marang.

Pemangku Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu Roslina Ngah berkata sejak awal pagi, semua stesen hujan mencatat bacaan antara empat dan 176 milimeter (mm) dan sehingga kini taburan hujan masih tertumpu di kawasan pantai.

"Mengikut rekod Jabatan Pengairan dan Saliran Terengganu, setakat 3 petang ini, data taburan hujan di Stesen Padang Kemunting dekat Batu Rakit merekodkan bacaan hujan 176 mm, Bukit Kecil (146mm) dan Kampung Tok Adis di Kuala Ibai (129mm), tanpa henti untuk tempoh 13 jam.

"Selain itu, stesen data di Institut Pertanian Tok Dor di Besut menunjukkan bacaan 131mm, Pengkalan Berangan di Marang (77mm), Kuala Ping di Hulu Terengganu (75mm), Penarik di Setiu (122 mm) Jerteh (63mm) dan Tembila di Besut (105mm)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semua sungai utama Terengganu masih berada di paras normal kecuali Sungai Chalok dekat Setiu yang menunjukkan bacaan 7.45 meter, melebihi paras berjaga-jaga 7 meter dan ia masih menunjukkan peningkatan.

Roslina, bagaimanapun berkata hujan mulai berhenti sekitar 2 petang tadi dan tiada pusat pemindahan dibuka setakat ini.

Katanya angin kencang dan laut bergelora dijangka membawa angin Timur Laut dengan kelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam dengan ketinggian ombak 3.5 meter yang berbahaya kepada bot-bot kecil.

Semua jabatan dan agensi peringkat negeri dan daerah yang terlibat dengan persediaan banjir telah dimaklumkan untuk terus bersiap siaga, katanya. - Bernama