Isnin, 17 November 2014

GST: Panduan pembeli bantu pengguna semak harga

SINAR HARIAN


KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan memperkenalkan Shopper's Guide' (Panduan Pembeli) pada Januari depan untuk meredakan kebimbangan orang ramai terhadap peniaga tidak bertanggungjawab yang menaikkan harga apabila Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dikuatkuasakan.

Panduan ini akan menyenaraikan 944 barangan dan perkhidmatan yang terkelompok di dalam Indeks Harga Pengguna (IHP), serta harga barangan berkenaan sebelum dan selepas GST diperkenalkan, menurut Timbalan Setiausaha Bahagian Cukai (Cukai Tidak Langsung dan GST) Kementerian Kewangan MA. Sivanesan.

"Maklumat ini dapat membantu pengguna untuk menganggarkan perubahan harga akibat (pengenaan) GST. Dengan cara ini mereka akan tahu jika peniaga telah mengenakan caj berlebihan," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Pemantauan GST untuk memastikan kelancaran pelaksanaan cukai penggunaan di negara ini, dan memantau manipulasi harga oleh peniaga yang sewenang-wenang mengaut untung.

Pengarah GST Jabatan Kastam Diraja Malaysia Datuk Subromaniam Tholasy berkata Panduan Pembeli ini akan membolehkan pengguna menggunakan hak mereka untuk membuat perbandingan pada harga barang-barang yang terlibat dengan GST.

"Mereka boleh membuat aduan jika mereka mendapati sebarang kenaikan besar dalam harga dilakukan oleh peniaga," katanya.

PENGURANGAN HARGA

Beliau berkata Panduan Pembeli itu akan diterbitkan pada Januari depan dan akan dipaparkan di dalam portal Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan selama kira-kira enam bulan.

Pengguna akan diajar bagaimana untuk menggunakan panduan ini, kata beliau, dan memaklumkan bahawa pihak berkuasa turut mempertimbangkan untuk mencetak Panduan Pembeli ini.

Beliau berkata kerajaan tidak mahu peniaga mengambil kesempatan daripada pelaksanaan GST untuk menaikkan harga sewenang-wenangnya kerana ia akan menyembunyikan faedah sebenar pelaksanaan sistem cukai kepenggunaan ini.

Mengenai perubahan harga, Subromaniam berkata ia bergantung kepada kategori barangan atau perkhidmatan, dan sama ada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) telah dikenakan pada barangan atau perkhidmatan berkenaan.

"Bagi perkhidmatan yang pada masa ini mengenakan kadar enam peratus Cukai Jualan dan Perkhidmatan, tidak ada cara harga boleh naik. Malah, akan ada sedikit pengurangan dalam harga selepas GST dilaksanakan.

"Ambil restoran makanan segera sebagai contoh... walaupun kini terdapat kenaan kadar enam peratus Cukai Jualan dan Perkhidmatan, di bawah GST, restoran boleh menuntut kembali sebahagian daripadanya sebagai cukai input. Oleh itu, ia akan memberikan beberapa penjimatan," katanya menjelaskan.

Perlaksanaan GST pada kadar enam peratus akan menggantikan SST mulai 1 April 2015.

PERATURAN MARGIN BERSIH RINGGIT

Ketika membentangkan Bajet 2015 pada Oktober lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan kepada orang ramai bahawa harga 532 item, atau 56 peratus, daripada 944 barang dan perkhidmatan dalam IHP dijangka berkurangan sehingga 4.1 peratus.

Antaranya ialah ubat-ubatan, peralatan elektrik seperti peti sejuk dan mesin basuh, produk tekstil, produk plastik seperti baldi dan pinggan, kasut dan selipar, perabot, lampin bayi, sabun, daging, ayam telur, minyak masak, makanan laut, beras dan sayur-sayuran. 354 barang dan perkhidmatan mungkin mengalami kenaikan harga tetapi ia akan menjadi kurang daripada 5.8 peratus, kata Najib.

Sementara itu, Subromaniam berkata jika perniagaan di setiap peringkat bekalan rangkaian - daripada pengilang sehinggalah ke peruncit - menaikkan margin keuntungan, pasti ia boleh membawa kepada kenaikan harga.

Bagi menangani isu ini, jabatannya merancang untuk memperkenalkan Peraturan Margin Bersih Ringgit untuk melarang syarikat daripada menaikkan margin keuntungan mereka atas nama GST.

"Ia (Peraturan Margin Bersih Ringgit) dijangka diwartakan sama ada pada akhir bulan ini atau bulan depan. Di bawah peraturan ini, perniagaan tidak dibenarkan menukar margin keuntungan mereka bagi tempoh tertentu sebelum dan selepas pelaksanaan GST.

"Berkenaan tempoh tertentu itu, kita berfikir untuk 15 bulan tetapi kami belum memuktamadkannya lagi," katanya. - Bernama

1 ulasan:

frisolover berkata...

sudah ada klinik yang menaikkan harga ubat dengan alasan pembekal menaikkan harga untuk gst.