Khamis, 20 November 2014

Exco PAS S'gor tak terlibat lulus dana RM2.6 juta

MUHAMMAD FAIZAL



 


KUALA LUMPUR: Exco PAS Selangor tidak terlibat dalam kelulusan bayaran pampasan sebanyak RM2.6 juta kepada pembantu-pembantu bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad berkata, penafian penglibatan itu dimaklumkan pada pertemuan dengan PAS Negeri Selangor semalam yang turut dihadiri dua bekas exco serta pimpinan negeri dan kawasan.

"Dua bekas exco dan dua exco menafikan telah memberi kelulusan serta terlibat dalam pemberian pampasan kepada orang-orang Khalid.

"Mereka memaklumkan pada mesyuarat 22 Oktober lalu, Khalid‎ hanya memaklumkan pemberian tersebut yang telah dipersetujui pada mesyuarat Lembaga Pengarah Menteri Besar Incorporate (MBI) dengan jumlah tanpa ada pecahan pembayaran," katanya pada sidang media di Parlimen.

Tambah beliau, tindakan mengaitkan PAS dalam isu RM2.6 juta itu hanya bertujuan untuk mencemarkan imej PAS yang sebelum ini mempertahankan Khalid dalam krisis Menteri Besar.

"Kaitkan exco PAS adalah niat jahat Khalid untuk memalitkan PAS dalam isu ini, ia hanya dimaklumkan sahaja dan bukan meluluskan melalui mesyuarat exco.

"Malah pembayaran juga dibuat secara mengejut apabila duit dipindahkan ke akaun masing-masing pada malam itu juga, ini turut mengejutkan exco-exco yang ada ketika itu," sambung beliau lagi.

Beliau yang turut memberitahu, PAS Selangor menggesa agar siasatan terperinci segera dilakukan Kerajaan Negeri Selangor termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sementara itu, Ahli Parlimen Hulu Langat, Abdullah Sani turut menyifatkan ia merupakan satu pembayaran yang keterlaluan dan tidak mengikut undang-undang pekerjaan yang sedia ada.

Katanya, pembayaran dengan jumlah yang besar itu merupakan satu pembayaran yang pertama kali berlaku di negara ini. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: