MALAYSIAKINI
Selepas mengkritik 1Malaysia Development Berhad (1MDB), bekas perdana
menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kini mengalihkan sasarannya pada projek
Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang dicetuskan oleh Datuk Seri Najib
Tun Razak.
Dalam tulisan blognya semalam, Dr Mahathir mengingatkan kerajaan yang
ditadbir perdana menteri bahawa wang untuk membayar BR1M merupakan wang
pembayaran cukai.
"Kita jangan lupa yang duit kerajaan diperolehi melalui cukai yang dikenakan ke atas rakyat.
"Cukai ini meningkatkan kos sara hidup. Tetapi rakyat masih lagi sanggup
bertahan dengan kos yang dikenakan kerana mereka menjangkakan kerajaan
akan memberi keselamatan, mentadbir negara dengan baik dan mempunyai
dasar yang memberi faedah kepada rakyat.
"Tetapi rakyat tidak mahu melihat cukai yang mereka bayar dibelanjakan dengan cara yang diluar jangkaan ini.
"Sudah tentu mereka tidak mahu wang hasil titik peluh mereka
dibelanjakan untuk memenangi populariti bagi sesiapa atau parti-parti
politik atau pentadbiran," katanya.
Selain itu, Mahathir juga membantah pemberian pada skala yang besar kepada rakyat seperti BR1M dilihat seperti memberi rasuah.
"Dan ia diberi apabila pilihan raya semakin dekat atau sebagai manifesto
pilihan raya yang menjanjikan perkara ini (BR1M). Tanggapan yang tak
boleh dielak ialah pemberian ini seperti membeli undi.
Bergantung pada k'jaan
"Jika mahu meningkatkan pendapatan, sepatutnya menyediakan peluang bekerja atau perniagaan.
"Tetapi BR1M mempunyai lebih banyak implikasi negatif. Ia meningkatkan
kecenderungan untuk bergantung kepada kerajaan walaupun untuk pendapatan
seseorang tanpa mereka usaha apa-apa.
"Ia melemahkan sikap seseorang dan mengurangkan sikap berdaya saing," katanya lagi.
Bekas perdana menteri itu juga berkata pendapatan yang tinggi sepatutnya
datang daripada peningkatan produktiviti dan tanpanya persaingan tidak
dapat diperkukuhkan.
"Kita mahu menjadi sebuah negara maju menjelang 2020. Kita fikir ia
boleh dicapai dengan meningkatkan pendapatan purata ke tahap yang
tertentu. Ini sebenarnya mengelirukan.
"Beberapa orang dengan pendapatan yang tinggi akan mengganggu pendapatan
purata. Pendapatan per kapita tidak seharusnya menjadi ukuran kepada
pencapaian kita untuk mendapat status negara maju. Penekanan ke atas
pendapatan yang tinggi semata-mata tidak cukup.
"Malah, dengan sendirinya, ia tidak akan menjadikan negara ini sebuah
negara maju tetapi ia akan menjadi lebih mengelirukan apabila pendapatan
disebabkan oleh pemberian oleh kerajaan," kata Mahathir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan