Rabu, 19 November 2014

Caj arak: Pengguna ada hak boikot MAS - Murshid

HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR: Presiden Multaqa Asatizah dan Pendakwah Malaysia (Murshid), Dr Zaharuddin Abdul Rahman berpendapat pengguna berhak menggunakan kuasa mereka untuk memboikot MAS ekoran tidak bersetuju dengan caj arak automatik dalam setiap tiket penerbangan syarikat itu.

Zaharuddin berkata, MAS perlu merubah dasar itu atau bersedia berhadapan resiko diboikot jika mahu terus melaksanakannya.

"Mas perlu pertimbangkan perkara tersebut dan jika ada pengguna yang tidak berpuas hati dengan pendedahan itu dan hendak memboikot MAS, pada saya tidak salah.

"Mereka ada hak dan boleh menggunakan kuasa pengguna yang dimiliki. Jika MAS tidak berganjak dengan keputusan untuk terus menghidangkan arak dalam penerbangan mereka, mereka perlu tanggung akibat," katanya dipetik Akhbar Sinar Harian.

Menurut beliau lagi, kerajaan perlu memainkan peranan dalam merubah dasar itu kerana mereka mempunyai kuasa berbuat demikian.

Lebih-lebih lagi katanya orang bukan Islam sendiripun tidak pernah mengambil kira faktor sama ada sesuatu penerbangan itu ada jual arak atau tidak.

"Apa yang menjadi keutamaan pengguna sewaktu hendak membeli tiket kapal terbang adalah sama ada harga tiket murah atau tidak dan adakah jadual penerbangannya tepat dan keselamatan mereka terjamin?

"Rakan-rakan bukan Islam dan kerap menaiki penerbangan mengaku bahawa mereka tidak pernah mengambil kira faktor sama ada sesuatu penerbangan itu ada jual arak atau tidak, adakah pramugarinya seksi atau tidak, ketika hendak membeli tiket. Tidak pernah ada dalam pertimbangan mereka," lapor akhbar harian berbahasa Melayu itu lagi.

Ditanya, adakah pengguna Islam yang membeli tiket termasuk caj arak tersebut berdosa, Zaharuddin berkata, pembeli tidak menanggung dosa sebaliknya pengurusan MAS yang berdosa dalam keadaan tersebut.

"Niat pembeli hendak beli tiket dan bukan hendak beli arak tetapi pengurusan MAS pula menyediakan caj hidangan yang terdapat arak dalam menu mereka," katanya.

Harakahdaily sebelum ini melaporkan pendedahan Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Abdul Aziz Kaprawi di Dewan Rakyat bahawa harga setiap tiket yang dibeli penumpang adalah termasuk caj hidangan dalam pesawat termasuk arak.

"Tuan Pengerusi, memang apabila kita membeli tiket kapal terbang, maka ia termasuk dengan hidangan yang disediakan dalam kapal terbang," katanya.

Pendedahan mengejutkan itu sekaligus mengundang keresahan pengguna penerbangan itu khususnya beragama Islam, yang melihat tindakan itu seperti memaksa mereka bersubahat dengan minuman beralkohol itu. -HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: