Selasa, 25 November 2014

Bagaimana berlaku adil kepada 85,000 lepasan siswazah

HARAKAHDAILY


KUALA LUMPUR: Menteri Sumber Manusia diminta menyatakan bagaimana Kementerian ini boleh berlaku adil kepada 85,000 lepasan siswazah yang telah memohon pekerjaan melalui on-line pada 6 September 2014 berbanding dengan keperluan kepada jawatan kosong yang ada.

Demikian pertanyaan bagi jawab lisan daripada Datuk Dr Nik Mazian Nik Mohamad [PAS-Pasir Puteh] pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Pertanyaan daripada ahli-ahli parlimen PAS yang disenaraikan hari ini seperti di bawah.

Dr Izani Husin [Pengkalan Chepa] minta Menteri Kesihatan menyatakan adakah Kerajaan bercadang untuk memindahkan Hospital Raja Perempuan Zainab II ke tempat yang lebih strategik di mana ia mengambil kira keluasan ruang dan juga keselesaan pelanggan.

Idris Ahmad [Bukit Gantang] minta Perdana Menteri menyatakan berapakah peruntukan yang dibelanja oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan pada tahun 2005 hingga 2013 hasil daripada kutipan zakat untuk membangunkan sektor hartanah di sekitar Wilayah Persekutuan dalam usaha untuk membantu orang miskin yang tidak ada rumah.

Siti Zailah Mohd Yusoff [Rantau Panjang] minta Menteri Pengangkutan menyatakan kerugian yang ditanggung terhadap tragedi MH370 dan MH17 dan apakah langkah jangka pendek dan jangka panjang untuk memulihkan imej dan prestasi MAS masa depan.

Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali [Kuala Nerus] minta Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani menyatakan jumlah anggaran sebenar keperluan bekalan ikan setahun kepada negara.

Datuk Seri Abdul Hadi Awang [Marang] minta Perdana Menteri menyatakan apakah status terkini proses persempadanan semula kawasan pilihan raya sepertimana yang telah diumumkan oleh Kerajaan pada tahun lalu.

Wan Hasan Mohd Ramli [Dungun] minta Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan menyatakan jaminan kemudahan infrastruktur Majlis Perbandaran Dungun dari segi jalan raya, kesihatan, kebersihan, keselamatan, perparitan, perkhidmatan bomba, perumahan, keceriaan dan pemusatan jabatan kerajaan persekutuan.

Datuk Mahfuz Omar [Pokok Sena] minta Menteri Pendidikan menyatakan punca kebocoran kertas soalan UPSR 2014 dan apakah langkah kawalan keselamatan serta kerahsiaan yang diambil sebelum ini untuk memastikan tiada kebocoran.

Ahmad Marzuk Shaary [Bachok] minta Perdana Menteri menyatakan apakah sebab pertukaran Setiausaha Dewan Negara dibuat secara tergesa-gesa dan menimbulkan kontroversi. Apakah usaha Kerajaan dalam memastikan setiap pertukaran dibuat secara lebih telus, bertanggungjawab dan dalam bentuk yang lebih menghargai jasa sumbangan pegawai-pegawai Kerajaan. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: