kucing
 
 
KUALA LUMPUR - Seorang pemilik pusat jagaan kucing didenda RM800 oleh Mahkamah Majistret di sini kerana mengabaikan kebajikan 17 ekor kucing sehingga empat daripadanya mati, April lepas.
 
Majistret Zura Syazween Hamizan mengenakan denda berkenaan selepas Norhazlin Ibrahim, 39, yang merupakan Orang Kena Saman (OKS) mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.
 
Turut menerima nasib sama, pekerjanya Helmy Jazman Sulaiman, 27, yang turut didenda RM300.
 
Mahkamah juga memerintahkan Norhazlin, dipenjara lapan hari manakala Helmy Jazman pula dipenjara tiga hari sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan tetapi kedua-dua mereka membayar denda itu.
 
Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa bersama-sama mengabaikan kebajikan terhadap kesemua haiwan itu hingga menyebabkan kesakitan dan kesengsaraan yang tidak munasabah.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di pusat jagaan di alamat Lot 6, Jalan 8/1 Kampung Melayu Subang, pada pukul 11.30 pagi, 3 April lalu, mengikut Seksyen 44(1)(d) Akta Binatang 1953.
 
Terdahulu, Pegawai Pendakwa Haziah Musa daripada Jabatan Veterinar memaklumkan punca kematian haiwan berkenaan disebabkan jangkitan virus dan kekurangan zat makanan dalam tempoh yang lama.
 
Katanya, walaupun Norhazlin memberikan ubatan kepada kucing-kucing itu tetapi tertuduh sepatutnya merujuk masalah haiwan berkenaan kepada pegawai veterinar yang bertauliah.
 
"Laporan juga menunjukkan pemilik itu gagal menyediakan tempat tinggal yang baik kepada 200 ekor kucing lain yang turut di bawah pusat jagaan itu, selain kelihatan kurus dan lemah," katanya.
 
Dalam rayuan, Nohazlin bagaimanapun berkata, perkara itu adalah di luar kawalannya kerana kebanyakan kucing yang dihantar ke pusat jagaan itu berpenyakit dan cacat.
 
"Saya hanya melakukan apa yang termampu dengan peruntukan sedia ada kerana pusat jagaan hanya mengenakan bayaran serendah RM50 seekor (kepada kucing) yang dihantar orang ramai.
 
Dengan peruntukkan yang agak terhad itu, segala kemudahan cuba disediakan termasuk makanan, ubat-ubatan, dan tempat tinggal kucing-kucing berkenaan selain kos menggaji dua pekerja untuk membantu menguruskan penyediaan keperluan itu," katanya. - Bernama