Selasa, 25 November 2014

63 tahun: Gilap kembali saduran emas sejarah PAS

HARAKAHDAILY



 


KUALA LUMPUR: Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria menyeru kepada seluruh pendukung gerakan Islam negeri itu untuk meningkatkan momentum perjuangan dan memperkukuhkan istiqamah di dalam jiwa.

"Kita perlu kembalikan semangat juang anak Perak, selari dengan kefahaman dan disiplin sebagai ahli gerakan," ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, Gerakan Islam PAS bermula dengan penubuhan Hizbul Muslimin pada Mac 1948 melalui perhimpunan ribuan ulama tanah air di Gunung Semanggol Perak yang mana sejarahnya terpahat kuat di lembaran sejarah gerakan Islam.

Tambahnya, Perak juga merupakan negeri pertama yang melahirkan kemenangan satu kerusi parlimen buat PAS, melalui kaedah demokrasi pilihan raya.

Kemunculan Dr Burhanuddin al-Helmy dan Ustaz Abu Bakar al-Baqir yang merupakan tokoh pejuang Perak, turut menyumbang saham banyak dalam percaturan kemenangan gerakan Islam PAS, ujarnya.

"Sambutan Ulang Tahun PAS ke-63 kali ini Perak sebagai tuan rumah bagi mengangkat semula PAS Perak serta menggilap kembali saduran emas sejarah PAS. Gunung Semanggol menjadi saksi bahawa PAS itu bermula di sini," katanya lagi.

Kini, kata beliau PAS sudah bertapak di Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor dan Johor yang sudah mempunyai 4 kerusi Dun sementara Perak perlu ke hadapan dalam melakar kemenangan ini.
"Dengan lukisan potret sejarah yang halus, Perak perlu menyelak kembali tirai yang menutupnya," ujarnya.

Justeru, beliau menyeru agar gerak dan hebahkan supaya pimpinan, ahli, pendukung serta penyokong di semua peringkat dapat turun memeriahkan Sambutan Ulang Tahun PAS Pusat ke-63 peringkat negeri pada 29 November dan peringkat kebangsaan pada 30 November di Padang Kompleks PAS Bukit Chandan, Kuala Kangsar. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: