Khamis, 17 Oktober 2013

Surendran harus lebih kerap ikut operasi polis, kata Wan Junaidi

OLEH HASBULLAH AWANG CHIK

Naib Presiden PKR, N Surendran memakai jaket kalis peluru polis di Bukit Aman semalam.Naib Presiden PKR, N Surendran memakai jaket kalis peluru polis di Bukit Aman semalam.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak menghalang Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mencabar Naib Presiden PKR, N Surendran menyertai operasi polis, dengan syarat surat penafian untuk tidak mendakwa kerajaan dan pihak polis ditandatangani.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata Surendran seharusnya lebih kerap mengikut operasi polis supaya segala keangkuhannya dapat ditundukkan apabila berdepan dengan kejadian tembak-menembak.

“Dalam ribuan operasi dan tangkapan oleh polis, mungkin satu atau dua kes sahaja yang berdepan dengan kejadian tembak-menembak maka kita mahu Surendran mengikuti operasi polis itu berpanjangan supaya setanding dengan apa yang beliau hujahkan di Parlimen.

 “Surendran tidak tahu bagaimana polis menjalankan tugas. Setiap anggota polis berpandukan undang-undang, prosedur piawaian operasi (SOP) dan arahan ketua polis sendiri. Begitu juga SOP penggunaan senjata api yang perlu dipatuhi oleh polis,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Wan Junaidi berkata, dalam keadaan tertekan, tiada yang akan bertindak seperti robot kerana mereka mahu menyelamatkan diri ketika dalam kecemasan.

Katanya, Surendran tidak tahu kesukaran polis dan hanya tahu mencabar membuta tuli di dalam Dewan Rakyat menyebabkan Khalid tercabar sehingga mempelawa Surendran mengikut operasi polis.

“Jangan merendahkan martabat pasukan polis. Kalau tidak didedahkan dengan latihan maka jangan hanya pandai mencabar polis. Jika musuhnya adalah peluru, maka jangat ingat polis berlakon cerita kung fu. Mana ada orang boleh mengelak peluru,” katanya.

Khalid pada Isnin menawarkan Surendran untuk menyertai operasi polis yang melibatkan penjenayah bersenjata dan beliau perlu menandatangani perjanjian indemniti terlebih dahulu untuk berhadapan dengan sebarang risiko ketika operasi itu dijalankan.

Beliau berkata, polis akan menghubungi Surendran apabila pasukan itu menjalankan operasi berkenaan dan ahli Parlimen itu perlu bersedia untuk dipanggil pada bila-bila masa termasuk lewat tengah malam atau awal pagi.

Katanya, Surendran akan disediakan perlindungan mencukupi dalam bentuk perisai badan sekiranya beliau menerima pelawaan itu.

Surendran dan peguamnya menghubungi Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Hadi Ho Abdullah berhubung butiran perjanjian indemniti dan prosedur lain.

The Malaysian Insider semalam melaporkan Surendran tidak menganggap tawarannya itu sebagai jalan penyelesaian terhadap kritikan kepada polis.

Surendran yang juga Ahli Parlimen Padang Serai berkata, tawaran Khalid itu hadir semata-mata kerana kritikannya terhadap pasukan polis dan terpaksa menyambutnya demi tujuan yang baik.

Beliau menafikan kenyataan Khalid yang mendakwa dirinya tidak kisah keselamatan pasukan polis bertugas, sebaliknya berkata, kritikannya adalah kerana kenyataan "tembak dahulu" oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang kemudian disokong oleh pegawai atasan polis.

Tiada ulasan: