Khamis, 17 Oktober 2013

Comango nafi ke Geneva untuk ancam Islam dan promosi seks songsang

Oleh Md Izwan

Honey Tan Lay Ean berucap di majlis taklimat Laporan UPR ke Geneva di Petaling Jaya. Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 17 Oktober, 2013.Honey Tan Lay Ean berucap di majlis taklimat Laporan UPR ke Geneva di Petaling Jaya. Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 17 Oktober, 2013. 























Gabungan NGO Hak Asasi Manusia (Comango) hari ini menafikan dakwaan pertubuhan bukan kerajaan Muslim bahawa mereka akan melobi di Geneva yang boleh mengancam agama Islam dan mempromosikan seks songsang pada 24 Oktober ini.

Gabungan tersebut yang bakal menghantar tujuh wakil ke Majlis Hak Asasi Manusia (HRC) untuk Semakan Berkala Sejagat (UPR) sebaliknya menegaskan tujuan mereka adalah untuk mempromosikan hak asasi manusia kepada kerajaan Malaysia.

"Ia adalah tidak benar, tidak ada satu pun dalam laporan yang kami buat mengancam agama Islam atau mempromosikan seks songsang seperti didakwa.

 "Mereka yang tuduh kami itu tidak membaca laporan yang kami buat," kata wakil gabungan tersebut, Honey Tan Lay Ean pada sidang media pagi ini di Petaling Jaya.

Tan berkata, kehadiran mereka di Geneva hanya untuk menggalakkan kerajaan Malaysia menerima beberapa cadangan untuk mempromosikan, melindungi dan memenuhi hak asasi manusia di Malaysia.

"Kami hanya berhasrat untuk menggalakkan kerajaan menerima beberapa cadangan yang melibatkan hak asasi manusia," katanya.

Tan berkata, kerajaan Malaysia sudah menandatangani tiga konvensyen HRC sejak kali pertama menyertainya pada 2009.

Tan juga mengkritik laporan yang disediakan kerajaan Malaysia ke HRC kerana kelemahan daripada segi analisis dan tidak terlebih dahulu mendapatkan pandangan daripada NGO lain di Malaysia.

"Laporan yang disediakan kerajaan Malaysia untuk dibawa ke UPR ini sangat lemah, tiada analisis yang dibuat.

"Ia hanya sekadar salinan polisi yang diletakkan sahaja dalam laporan tersebut," kata Tan yang merujuk kepada beberapa program propaganda di bawah kempen 1Malaysia, antaranya ialah Perumahan 1Malaysia (PR1MA), Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan Kedai Rakyat 1Malaysia yang dilihat sebagai alat propaganda kerajaan Barisan Nasional (BN) semasa pilihan raya umum lalu.

Comango dalam laporan yang disediakan mereka antaranya membangkitkan beberapa isu mengenai kebebasan agama, isu perkauman, salah guna polis, isu imigran dan hak bersuara.

Mengenai kritikan terhadap Comango, Tan mempersoalkan kredibiliti kumpulan tersebut kerana tidak pernah mendengar tentang kewujudannya, malah kumpulan itu juga tidak memberikan sebarang input dalam laporan yang akan dihantar ke UPR nanti.

"Kumpulan ini tiba-tiba muncul, dari mana mereka datang pun tidak tahu.

"Mereka ini berada dalam senarai NGO yang memberikan input ke UPR nanti, di mana laporan mereka," katanya merujuk kepada kumpulan terbabit.

Presiden gabungan Muslim UPRo, Azril Mohd Amin yang lantang mengecam Comango hari ini, mendakwa kumpulan tersebut hanya terdiri daripada 12 NGO berdaftar yang sah, selebihnya tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan.

Beliau mendakwa, gabungan tersebut menyebarkan ideologi batil ke pelosok dunia dengan memburukkan kedudukan Islam di Malaysia melalui pelbagai tuntutan tidak munasabah.

"Di Malaysia, aktivis HAM ini turut menjadi bertambah kuat dan berani kerana wujud segelintir pemimpin Muslim, khususnya pemimpin politik yang keliru dengan kefahaman agama mereka akibat kerangka sekular yang dianuti," kata Azril, yang juga naib presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia dipetik dalam akhbar milik Umno, Utusan Malaysia hari ini.

UPR merupakan mekanisma yang digunakan untuk menilai situasi hak asasi manusia negara anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), ia dijalankan empat tahun sekali.

Malaysia semakin menghampiri sesi UPR pusingan kedua pada 24 Oktober 2013 di Majlis Hak Asasi Manusia di Geneva, Switzerland.

Terdapat beberapa laporan yang dihantar secara berasingan kepada majlis tersebut oleh badan seperti Becket Fund for Religious Liberty, Human Rights Watch, Amnesty International, Majlis Peguam, International Commission of Jurists dan NGO hak asasi manusia.

Tetapi isi kandungan laporan Comango membentuk sebahagian besar tuntutan yang terkandung dalam dokumen yang menjadi asas rujukan rekod hak asasi Malaysia pada pusingan kali ini.

UPR akan menilai sejauh mana negara yang disemak menghormati hak kewajipan manusia yang ditetapkan dalam Piagam PBB, Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia, instrumen hak asasi manusia yang ditandatangani sesebuah kerajaan, janji dan komitmen sukarela dibuat kerajaan (dasar hak asasi manusia nasional dan/atau program dilaksanakan), dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa terpakai.

Tiada ulasan: