Khamis, 17 Oktober 2013

Penduduk berhimpun di Pelabuhan Kuantan

 Luqman


KUANTAN - Ratusan penduduk Kuantan dan kawasan daerah berhampiran turun ke Pelabuhan Kuantan malam tadi bagi membantah ketibaan kapal kedua yang membawa bahan mentah berbahaya Rare Earth Oxides (REO).


Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh yang turut hadir dalam perhimpunan bantahan tersebut berkata, kontena yang membawa bahan mentah berbahaya itu masih belum dibawa ke kilang Lynas di Gebeng.

“Pimpinan Pakatan dan NGO alam sekitar konsisten berada di pelabuhan ini secara bergilir untuk memantau kontena bagi memastikan bahan itu tidak dibawa ke kilang Lynas di Gebeng,” kata Fuziah sebagaimana dilaporkan Keadilandaily.

Beliau berkata, ahli parlimen Indera Mahkota, Datuk Fauzi Abdul Rahman sebelum ini telah menghantar memorandum bantahan kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

“REO memerlukan lesen import daripada Lembaga Pelesenan Tenaga Atom Malaysia (AELB). Namun menteri terlibat sehingga kini enggan komen,” kata Fuziah kesal.

Kira-kira 30 anggota polis memantau kehadiran sekitar 500 aktivis anti-Lynas termasuk pimpinan Pakatan Rakyat dan orang ramai yang berhimpun di Pelabuhan Kuantan.

Mereka turut melaungkan slogan ‘Kami bukan tikus makmal’ dan ‘Lynas balik Australia’.

Akhbar Suara Keadilan sebelum ini mendedahkan kapal kontena ‘Red Resource’ berlepas dari Pelabuhan Fremantle, Australia 4 Oktober lalu untuk menghantar bahan nadir bumi berbahaya untuk kali kedua.

Tiada ulasan: