Selasa, 8 Oktober 2013

Laporan Ketua Audit Negara: Selangor catat prestasi terbaik bukti PR telus

pix lau weng san


KAMPUNG TUNKU: Rakyat Selangor boleh berbangga dengan pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat (PR) negeri ini setelah sekali lagi menerima pujian dan komen positif daripada Ketua Audit Negara.

Ahli Dewan Undangan DAP Kampung Tunku, Lau Weng San, berkata segala komen dan cadangan positif itu membuktikan kepada rakyat Malaysia bahawa PR mampu mentadbir negeri dan negara dengan lebih baik berbanding Barisan Nasional (BN).

“Saya menganggap ia akan menjadikan pentadbiran kerajaan Selangor selangkah lebih maju daripada kerajaan negeri lain, bahkan Kerajaan Persekutuan.

“Berbeza dengan komen dan teguran yang diterima badan, agensi dan anak syarikat kerajaan persekutuan yang seringkali mendapat liputan meluas media disebabkan ketirisan wang yang begitu dahsyat,” katanya.

Dalam audit beberapa agensi, jabatan dan anak syarikat Kerajaan Negeri Selangor, Jabatan Audit Negara (JAN) mendapati prestasi program dan pelaksanaan secara keseluruhannya adalah baik dan boleh dipertingkatkan.

Antaranya ialah audit terhadap pengurusan pinjaman pelajaran yang dikendalikan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) antara Julai dan Oktober 2012, audit terhadap status kewangan anak syarikatPerbadanan Menteri Besar Selangor, Selangor State Investment Centre Berhad (SSIC) antara Julai dan Oktober 2012 dan audit anak syarikat Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

“Turut audit terhadap pengurusan pengendalian kes Syariah oleh Jabatan Kehakiman Syariah Selangor, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor Sdn Bhd (KUIS), Selangor Oil Palm Industries Corporation Sdn Bhd (SOPIC) dan Program Hadiah Anak Masuk Universiti (HPIPT) yang dikendalikan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK),” kata Weng San.

Cuma bagi KUIS, katanya, Jabatan Audit Negara mendapati prestasi kewangannya pada 2011 adalah tidak memuaskan kerana mengalami kerugian RM11.3 juta.

“Bagaimanapun, Jabatan Audit Negara membuat catatan bahawa kerugian ini disebabkan pelaksanaan proses transfomasi yang bermula pada 2011 dan akan dilanjutkan selama empat tahun. Tetapi, KUIS masih berupaya mencapai keuntungan terkumpul sebanyak RM17.76 juta sehingga 2011,” katanya.-Roketkini.com

Tiada ulasan: