Selasa, 8 Oktober 2013

‘Lembaga Disiplin Umno digesa ambil tindakan’

 
Jika Lembaga Disiplin gagal mengambil tindakan calon Ketua Pemuda Umno Syed Rosli Syed Harman Jamalulail menggertak akan membawa aduannya kepada Pendaftar Pertubuhan. 




PETALING JAYA: Calon Ketua Pemuda Umno Syed Rosli Syed Harman Jamalulail hari ini memberi amaran kepada Lembaga Disiplin Umno agar mengambil tindakan terhadap aduan yang dibuat olehnya semalam.

“Sekiranya Lembaga Disiplin Umno gagal mengambil tindakan berdasarkan aduan yang saya kemukakan bersama kenyataan saksi dan gambar foto, saya akan heret Umno ke Pendaftar Pertubuhan.  Jangan layan kita seperti orang bodoh.

“Jika Pendaftar pun gagal mengambil tindakan maka saya terpaksa mengheret mereka ke mahkamah,” kata Syed Rosli ketika dihubungi tadi.

Semalam Syed Rosli yang merupakan salah seorang calon yang bertanding merebut jawatan Ketua Pemuda  membuat laporan terhadap penyandang kerusi sekarang iaitu Khairy Jamaluddin.

“Khairy dan ramai penyandang kerusi lain menyalahgunakan kementerian mereka untuk berkempen,” katanya.

Selain daripada Syed Rosli, Abdul  Karim Ali, Akramsyah Sanusi dan Izwan Ambak Khalid Izhar turut bertanding dalam pertandingan lima penjuru.

Dalam pada itu, Syed Rosli turut membidas kenyataan pemangku pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tan Sri Dato Seri Megat Najmuddin Megat Khas yang berkata calon yang bertanding bebas berkempen.

“Peraturan dan garis panduan yang ditetapkan memang tidak boleh dilonggarkan namun kalau nak berkempen dengan cara memperkenalkan diri, bagi visi dan misi itu boleh,” Utusan Malaysia melaporkan Megat berkata.

Syed Rosli membalas hari ini dengan berkata: “Kita menuruti perlembagaan Umno sepertimana kita menuruti Al-Quran.  Sebagai calon kita tahu implikasi setiap peruntukan dalam perlembagaan.

“Pengumuman Megat Najmuddin semalam itu boleh disamakan dengan tindakan seorang dirinya untuk meminda perlembagaan parti tanpa pembentangan usul di dalam perhimpunan agung Umno,” katanya.

Berhubung dengan aduannya kepada Lembaga Disiplin Umno, beliau berkata bahawa beliau tidak diberitahu mengenai tempoh dalam mana lembaga tersebut akan bertindak.

“Terdapat banyak aduan yang diterima oleh mereka dan saya diberitahu bahawa aduan saya berada dalam senarai mereka,” kata Syed Rosli.

Turut baca:

Syed Rosli: Hapuskan cukai motorsikal 150cc ke bawah
Syed Rosli masih menunggu empat calon bersumpah

Tiada ulasan: