Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Sutinah Sutan berkata kesedaran masyarakat terhadap bahaya rasuah kini berada pada tahap tinggi.

Ini, katanya, berdasarkan Kajian Keberkesanan SPRM kendalian Universiti Putra Malaysia.

"Kajian itu menunjukkan lebih 80% responden bersedia membuat laporan jika mereka ditawarkan rasuah atau diminta memberi rasuah.

"Lebih 77 peratus responden pula bersedia memberi maklumat atau melapor kejadian rasuah serta menjadi saksi," kata Sutinah dalam program bual bicara di Bernama Radio24 di Kuala Lumpur semalam sempena ulang tahun ke-46 SPRM hari ini.

Sutinah juga menyatakan dalam tempoh 2009-2012, SPRM telah berjaya menyelesaikan 1,529 kes.

174 kes selesai pada 2009, 435 pada 2010, 520 pada 2011 dan 400 kes pada 2012, katanya.

Tahun 2009 ialah ketika Program Transformasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diperkenalkan. - Bernama