Selasa, 1 Oktober 2013

PAS ambil tindakan langgar etika berkempen

Salmiyah Harun,


KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pemilihan Muktamar Tahunan PAS ke-59 menegaskan mereka  tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang berkempen secara tidak sihat dalam pemilihan kali ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Asmuni Awi berkata, mana-mana ahli PAS yang didapati melanggar garis panduan dan etika berkempen mungkin boleh dibatalkan kemenangan calon.

Malah katanya, jawatankuasa tatatertib boleh mengambil tindakan sekiranya terdapat aduan daripada pihak yang terancam dengan kempen yang dilancarkan oleh saingannya.

"Kita sedia maklum kempen-kempen giat berlangsung, seseorang itu boleh laporkan kepada kita jika ada pihak yang rasa terkilan, ataupun secara terangan kesalahan dari kaca mata kita sendiri. Kita ambil perhatian," katanya dalam sidang media di Pejabat Agung PAS di Jalan  Raja Laut hari ini.

Pada pemilihan kali ini, katanya calon dibenarkan mempromosikan diri mereka sama ada bersendirian atau berpasukan bagaimanapun tertakluk kepada bahagian 6 dalam peraturan tersebut.

Bahagian 6 peraturan itu menggariskan; menerbitkan, mengeluarkan, menyiarkan atau mengedarkan dalam apa jua bentuk, sebarang bentuk kenyataan sama ada lisan atau dalam bentuk tulisan atau grafik atau karikatur di dalam apa-apa medium sekalipun, yang mengandungi fitnah, kejian, celaan, sindiran atau apa juga kenyataan palsu sama ada secara langsung atau tidak langsung dengan tujuan mempengaruhi atau mendorong mana-mana ahli PAS supaya mencalonkan atau tidak mencalonkan atau mengundin atau tidak mengundi mana-mana ahli PAS.

Asmuni turut mengakui sebelum ini PAS tidak pernah mengeluarkan garis panduan berkempen tetapi pada kali ini ramai orang hendak tahu apa yang calon buat dan tidak buat.

"Sebelum ini memang tidak ada, jadi kali ini adalah lebih baik kita benarkan kempen secara sihat, mereka yang dilantik sebagai juru kempen akan memudahkan kita untuk awasi mereka," katanya.

Berhubung borang pencalonan, Asmuni mengingatkan borang pencalonan bagi kawasan yang diisi dan dihantar melalui emel tidak akan diterima kerana setiap borang mesti ditandatangani YDP Kawasan masing-masing.

Asmuni turut mengingatkan kepada mereka yang disenaraikan sebagai calon oleh PAS Kawasan hendaklah mengesahkan penerimaan mereka sebelum atau pada 8 November ini, sebelum jam 5.00 petang.

Manakala katanya, tarikh akhir untuk menghantar borang pencalonan untuk AJK PAS Pusat, Dewan Pemuda dan Muslimat pada 20 Oktober jam 12.00 malam, manakala tarikh tutup pencalonan Dewan Ulamak pada 31 Oktober.

Pemilihan ahli jawatankuasa PAS pusat akan berlangsung pada 22 November depan di Stadium Malawati dan keputusannya akan diumum keesokan harinya.

Manakala, pemilihan sayap-sayap akan berlangsung pada 21 November pada waktu pagi dan keputusan akan diumumkan pada sebelah malam.

Tiada ulasan: