Khamis, 3 Oktober 2013

Jawapan IGP Tidak Profesyenal Malah Melucukan

Jawapan KPN senjata jatuh ke laut tidak disenangi

KELAB GREENBOC

Jawapan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar mengenai kemungkinan 44 laras senjata api yang hilang disebabkan jatuh ke dalam laut tidak disenangi pelbagai pihak.

Ketua Propaganda, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Edy Noor Reduan, berkata rakyat menuntut jawapan yang sebenar bukannya andaian semata-mata.

"Sebagai Ketua Polis Negara, tidak wajar sewenang-wenangnya memberi respon seperti melepaskan batuk di tangga dalam isu kehilangan senjata api itu," katanya.

Katanya, kehilangan senjata api adalah satu perkara yang serius dan boleh mengurangkan keyakinan awam terhadap keselamatan dan keamanan negara.

Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dalam laporannya berkata, berdasarkan statistik kehilangan aset yang dikeluarkan Bahagian Pengurusan Aset, Jabatan Logistik, PDRM daripada 2010 hingga 2013 mendapati aset yang paling banyak hilang adalah gari dengan sejumlah 156 unit, diikuti senjata api dan kenderaan dengan masing-masing sebanyak 44 dan 29 unit.

Mengulas laporan itu, Khalid dipetik berkata, beliau yakin senjata api polis yang dilaporkan hilang itu tidak jatuh ke tangan penjenayah.

"Kehilangan ini tidak semestinya jatuh kepada penjenayah, mungkin jatuh waktu atas bot dalam laut, atau jatuh dalam air dan tidak ada orang yang dapat,” katanya.

Edy berkata, kenyataan ketua polis itu sepatutnya disokong oleh statistik yang tepat.

“Sepatutnya kenyataan tersebut disokong oleh statistik yang tepat, berapa kes pistol jatuh ke dalam laut? Berapa laras pula senapang automatik yang jatuh ke dalam sungai," katanya.

SAMM menggesa Ketua Polis Negara dan PDRM mengambil pendekatan lebih bertanggungjawab dalam memberikan respon kepada umum.

“Ini kerana rakyat ketika ini memerlukan lebih jaminan keselamatan kerana kes jenayah melibatkan senjata api sangat berleluasa,” katanya. -TMI


Hilang senjata api: Rakyat mahu jawapan, bukan barangkalian

KUALA LUMPUR: Sebagai Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar tidak wajar sewenang-wenangnya memberi respons seperti melepaskan batuk di tangga dalam isu kehilangan senjata api menurut laporan audit negara.

Pengarah Propaganda Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Edy Noor Reduan berkata, kehilangan sebanyak 44 laras senjata api adalah satu perkara yang serius mengendurkan keyakinan awam terhadap keselamatan dan keamanan negara.

“Jelaslah definisi negara aman yang dilaungkan itu hanyalah retorik semata-mata sedangkan PDRM sendiri terlibat hampir 50 kes kehilangan senjata api,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Justeru, ujarnya SAMM membidas kenyataan itu dengan mempersoalkan 'bagaimana Khalid tahu senjata api yang dikatakan hilang itu tidak terlepas ke tangan penjenayah’.

Sedangkan, katanya telah dilaporkan sebelum ini terdapat kes senjata api dicuri ketika anggota polis tidur di dalam kenderaan peronda.

Tambahnya, jawapan Khalid kononnya senjata api yang hilang itu barangkali terjatuh dalam laut yang akhirnya tidak boleh dijumpai adalah hanya tekaan rambang.

Sepatutnya, kata beliau kenyataan tersebut disokong oleh statistik yang tepat, berapa kes pistol jatuh ke dalam laut.

“Berapa laras pula senapang automatik yang jatuh ke dalam sungai?” tanya beliau.

Juga, tanya beliau apakah bom jenis C4 yang digunakan untuk meletup seorang penterjemah berbangsa Mongolia adalah termasuk dalam kes-kes kehilangan senjata api seperti yang dilaporkan Ketua Audit Negara.

“Di manakah laporannya?” katanya lagi.

Justeru, kata beliau SAMM menggesa agar Ketua Polis Negara dan pihak PDRM mengambil pendekatan lebih bertanggungjawab dalam memberikan respons kepada umum.

Ini, ujarnya kerana rakyat ketika ini memerlukan lebih jaminan keselamatan memandangkan kes jenayah melibatkan senjata api sangat berleluasa.
-HD

LAPORAN ASAL KENYATAAN DARI IGP

IGP: Boleh jadi senjata api jatuh dalam laut

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yakin bahawa senjata api polis yang dilaporkan hilang dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012 tidak jatuh ke tangan penjenayah.

Menurutnya, setiap senjata api dilengkapi tanda pengenalannya dan sehingga kini polis belum pernah mengesan senjata api tersebut digunakan mana-mana penjenayah.

"Daripada 37 senjata api yg hilang, setakat ini daripada laporan balistik kita, daripada 37 yang hilang itu kita belum kesan lagi bahawa senjata api ini pernah digunakan untuk tujuan jenayah.

"Kehilangan ini tak semestinya jatuh kepada penjenayah, boleh jadi jatuh waktu atas bot dalam laut, boleh jadi jatuh dalam air dan tak ada orang yang dapat," katanya pada sidang media pagi tadi.

Angka yang dinyatakan oleh Khalid itu berbeza angka uamg digariskan dalam laporan audit.

Laporan audit menyebut bahawa polis kehilangan 44 laras senjata api, 156 gari dan 29 kenderaan.

Khalid pula berkata polis kehilangan 166 pasang gari serta 32 buah kenderaan yang terdiri daripada 3 buah kereta dan 29 biji motosikal.

Jenis senjata api yang dilaporkan hilang itu bagaimanapun tidak dipastikan.

Sementara itu, sumber dalaman Bukit Aman yang dihubungi Malaysiakini menjelaskan perbezaan jumlah senjata api yang hilang itu adalah kerana tujuh pucuk daripada yang dinyatakan dalam laporan audit telah berjaya ditemui semula.

Anggota diarah ganti kos senjata api

Khalid pula ketika menjelaskan perkara itu lebih lanjut dalam sidang medianya berkata, semua kes kehilangan itu disiasat melalui 212 jawatankuasa inkuiri dalaman.

Tambahnya, 118 kes itu masih dalam siasatan sementara baki 94 kes berjaya diselesaikan.

Jelasnya, polis yang bersalah menghilangkan senjata api mereka diminta membayar kos senjata dan nilai terkumpul setakat ini adalah sebanyak RM197,984.

"PDRM memandang perkara ini dengan serius dan kita telah mengambil tindakan.

"Kita akui ada kelemahan yang perlu diperbaiki dan perkara ini sedang diteliti," katanya sambil menambah penubuhan Jabatan Integriti kelak akan membantu dalam usaha tersebut.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam sidang media sama berkata pihak kementerian sudah memberikan penjelasan kepada Jabatan Audit Negara berhubung kehilangan barangan tersebut.

Namun jelasnya, ia tidak sempat dimasukkan ke dalam laporan itu sewaktu ia dicetak.

"Laporan sudah diperjelas KDN yang mewakili PDRM.

"Ia telah dijelaskan tetapi tidak sempat dimasukkan ke dalam laporan yang dicetak," katanya.

Laporan Ketua Audit 2012 menyebut, barangan yang hilang itu direkodkan dalam tempoh 2010 hingga 2012, melibatkan kerugian berjumlah RM1.33 juta.

Khalid dan Ahmad Zahid ditemui pemberita selepas perasmian Persidangan dan Pameran Peralatan Umum Polis dan Peralatan Khas di Putrajaya pagi ini.
-mk

ULASAN GB

Jawapan dari IGP sungguh tidak profesyenal malah melucukan.

Tidak ada statistik yang dikemukakan berapa banyak senjata yang jatuh ke dalam laut, dan tak dinyatakan laut mana dan operasi apa yang dijalankan oleh pihak keselamatan sehingga ada senjata jatuh ke dalam laut.

Membodohkan rakyat namanya dengan memberikan andaian palsu sedemikian dan kenyataan IGP itu jelas sangat boleh diambil tindakan undang-undang supaya beliau boleh membuktikan kebenaran perkataannya di mahkamah.

Semalam GB sudah ulas bab kehilangan aset polis ini. Petikan:

Menghairankan.

Aset polis pun boleh lesap. Siapa yang mencuri atau merompak aset polis ini jika bukan polis sendiri?

Patutlah jenayah berleluasa dengan penjenayah mempunyai pistol dan senjata api merbahaya. Ada pengkhianat di kalangan anggota keselamatan yang mungkin menjadikan aset-aset ini sebagai "business" yang membawa pulangan lumayan.

Siasat dan ambil tindakan segera terhadap pihak yang terlibat!

Tiada ulasan: