Shahbudin Husin
Bekas
Ahli Parlimen PKR Bayan Baru, Zahrain Hashim dilaporkan akan dilantik
sebagai duta ke Indonesia. Perkara ini juga sudah pun disahkan oleh
Menteri Luar, Anifah Aman petang tadi. Zahrain adalah salah seorang
pemimpin PKR yang meninggalkan parti itu selepas pilihanraya 2008 dan
sejak itu beliau antara yang aktif menyerang Anwar Ibrahim dan membela
Najib.
Walaupun
Zahrain menafikan perlantikannya sebagai ganjaran kerana meninggalkan
Anwar dan menyokong kepimpinan Najib, tetapi rata-rata kalangan dalam
UMNO percaya tiada ada sebab atau merit lain yang boleh dijadikan
sandaran kepada perlantikannya itu melainkan sebagai upah atas
pengorbanannya itu.
Selain
itu, perlantikannya sebagai duta ke Indonesia juga dikhabarkan untuk
mengekang pengaruh Anwar di negara tersebut memandangkan Ketua
Pembangkang itu dipercayai mempunyai pengaruh serta simpati yang besar
di kalangan tokoh-tokoh politik di negara tersebut. Anwar dan beberapa
pemimpin PKR juga kerap berkunjung dan mengadakan pertemuan dengan
pelbagai tokoh politik di Indonesia sejak beliau dipecat pada 1998
dahulu.
Malahan
ketika era reformasi, beberapa penyokong setia Anwar seperti Ezam,
Saifuddin Nasution dan Rahim Ghouse berada bertahun-tahun di negara itu
untuk mendapatkan perlindungan dan mengelakkan daripada ditangkap oleh
pihak berkuasa Malaysia.
Dengan
ganjaran yang diterima Zahrain itu, beliau merupakan seorang lagi
pemimpin PKR selepas Ezam Mohd Nor yang dijadikan Senator selepas turut
meninggalkan PKR dan bersedia menyerang serta memaki-hamun Anwar
Ibrahim. Walaupun tidak disenaraikan sebagai calon pilihanraya, Zahrain
kini menerima khabar gembira sebagai duta ke Indonesia sebagai imbalan
pengorbanannya selama ini.
Beberapa
pemimpin PKR yang lain juga turut diberikan anugerah yang berbeza-beza
atas kesediaan meninggalkan PKR dan memaki-hamun Anwar seperti Zulkifli
Nordin dijadikan calon BN di Shah Alam, manakala ada pula diberikan
jawatan di agensi kerajaan, sebagai pegawai khas pemimpin tertentu,
diberi peluang perniagaan dan sebagainya.
Di
kebanyakan peringkat dalam UMNO, perlantikan Zahrain ini bukan saja
dipertikaikan dari segi kemampuannya tetapi juga kewajarannya. Jika
ingin mengekang pengaruh Anwar di Indonesia melalui peranan yang akan
dimainkannya sebagai duta, sebenarnya Zahrain bukanlah orangnya yang
tepat.
Di
Malaysia, beliau tidak dikenali sebagai pembicara, pengucap atau
seseorang yang ada kelebihan dari segi meyakinkan orang lain. Sebelum
keluar PKR, suaranya di dalam UMNO dan Parlimen dalam membahaskan
isu-isu semasa tidak pernah kedengaran. Beliau hanya umpama Hang
Kasturi, Hang Lekir atau Hang Lekiu saja, tidak banyak disebut
keberadaannya dalam perjuangan.
Hanya setelah bertukar kiblat politik dan bersalin baju baru, barulah suaranya sesekali kedengaran. Itu pun topiknya hanyalah mengenai PKR dan Anwar, bukan isu-isu yang melibatkan rakyat atau ada nilai perjuangan.
Hanya setelah bertukar kiblat politik dan bersalin baju baru, barulah suaranya sesekali kedengaran. Itu pun topiknya hanyalah mengenai PKR dan Anwar, bukan isu-isu yang melibatkan rakyat atau ada nilai perjuangan.
Barangkali
jika ingin menjalin hubungan politik yang lebih manis dan jernih
antara Malaysia dan Indonesia, sambil dalam masa yang sama pengaruh
Anwar mahu disekat, baik saja dilantik beberapa bekas menteri atau
timbalan menteri yang kalah bertanding atau tidak dilantik semula
selepas pilihanraya lalu.
Kalau pun
tidak mahu melantik Rais Yatim, Ghani Othman, Ali Rustam atau Zulhasnan
Rafique, tetapi apa kurangnya dengan dua bekas timbalan menteri Dr
Puad Zarkashi dan Saifuddan Abdullah yang lebih ternampak ketokohannya.
Wibawa dan keyakinan umum terhadap mereka ini juga jauh lebih tinggi
berbanding Zahrain Hashim.
Bahkan ada
yang bergurau, tetapi ada juga logiknya iaitu Ibrahim Ali jauh lebih
bagus daripada Zahrain. Kalau mahu dikira menyerang dan memaki hamun
Anwar, Ibrahim juga nyata lebih dulu berbuat demikian. Dari segi
keberanian dan kepintaran berhujah juga, Presiden Perkasa itu jauh
lebih menonjol.
Ramai
pemimpin dan kalangan penyokong UMNO yang kecewa dengan anugerah kepada
Zahrain ini. Budi dan jasa Zahrain kepada Najib hanyalah setahun dua
ini sahaja tetapi sebelum ini beliau adalah penentang dan ada rekod
derhaka kepada parti. Tetapi nampaknya Najib lebih menghargai hujan yang
baru turun sehari dua dan melupakan sama-sekali budi cuaca panas yang
berpanjangan sejak bertahun yang lalu.
Ramai
pejuang-pejuang setia dalam UMNO yang tidak diberi apa-apa penghargaan
meskipun berjuang siang malam dan tidak pernah menderhaka kepada parti.
Kadang-kadang untuk memperolehi peluang perniagaan bagi memastikan
parti terus hidup dan bernyawa, ada di antaranya yang umpama pengemis
memanjat dari satu pejabat ke satu pejabat menteri sambil membawa fail
dan sampul surat besar untuk menemui menteri dan pegawai tinggi
kerajaan.
Dalam hal
ini, ternampak bahawa cara dan gaya Najib mengurus kerajaan dan memberi
anugerah kepada sesiapa yang dikehendakinya umpama beliau menguruskan
sebuah syarikat sendirian berhad saja. Faktor kewajaran, kemampuan,
kesetiaan dan sebagainya tidak lagi menjadi perkiraan utama.
Sehingga
ada pemimpin UMNO yang berkata, kalau ingin jawatan dan habuan di zaman
Najib ini, maki hamun UMNO dan keluarkan parti serta berbaik-baiklah
dengan pembangkang terlebih dahulu, kemudian kembali dan jilatlah
semula apa yang diludahkan dulu. Dalam masa yang sama, sanjung dan
pujilah setinggi langit Perdana Menteri dan UMNO yang pernah dimaki
hamun dahulu.
Tak lama
selepas itu, dapatlah sesuatu. Atau kalau minta sesuatu, pasti akan
diberi. Menjadi pejuang yang setia tidak menjanjikan apa-apa berbanding
memiliki rekod derhaka.
Itulah
nampaknya gaya dan budaya baru dalam politik UMNO sekarang. Jika tidak,
janganlah mengharap apa-apa dan redalah berjuang semata-mata untuk
agama, bangsa dan negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan