PEMILIHAN pucuk pimpinan Umno kali ini penting daripada dua sudut.Pertama, sudut demokrasi. Bilangan perwakilan yang akan mengundi bertambah 50 kali ganda daripada 2,800 orang kepada 150,000 orang.
Lebih banyak ahli terbabit memilih pemimpin. Selain memperluaskan demokrasi, ia diharap akan mengurangkan risiko politik wang.
Tetapi sudah terdengar desas-desus bahawa amalan itu akan berterusan dan akan membabitkan jumlah yang lebih besar kerana bilangan pemilih lebih banyak.
Kedua, Majlis Tertinggi (MT) yang akan dipilih bertanggungjawab
menentukan hala tuju parti untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU)
ke-14.
Namun begitu, bilangan pemilih yang ramai tidak ada apa-apa erti kalau
bilangan calon yang menawarkan diri terhad, mutunya hambar dan usianya
lanjut.
Berubah atau Mati
Sejak PRU 5 Mei lalu, sebagai menjawab soalan pelbagai pihak, saya
telah beberapa kali menyatakan bahawa Umno akan hanya berubah sekiranya
kalah dalam PRU.
Bekas Presidennya pula, (Tun) Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata,
Umno sedang menderita penyakit tua dan akan mati. Hukum alam, tegas
beliau. (Baca di sini).
Walaupun petanda semasa menunjukkan tidak akan berlaku pertandingan
dalam jawatan Presiden dan Timbalan Presiden, kita masih boleh
dikejutkan oleh kemunculan calon luar jangkaan.
Meminjam ungkapan Inggeris, Mohd Najib Abdul Razak dan Muhyiddin Mohd
Yassin masih boleh diberikan “a run for their money” ertinya mungkin
muncul pencabar yang boleh menyebabkan mereka menderita senak perut yang
teruk.
Sebaliknya, oleh kerana beliau tidak dicabar, Mohd Najib bolehlah
bersikap berkecuali dalam pemilihan Naib Presiden, Ketua Wanita, Ketua
Pemuda, Ketua Puteri dan kerusi biasa MT.
Ada pihak khuatir Mohd Najib akan berpihak dalam pemilihan jawatan
nombor tiga itu kerana sepupunya, Hishammuddin Hussein terlibat, dan
dalam jawatan Ketua Wanita kerana beliau amat akrab dengan penyandang,
Shahrizat Abdul Jalil.
Bagi jawatan Naib Presiden, lima orang telah menyatakan hasrat untuk
bertanding iaitu tiga penyandang – Ahmad Zahid Hamidi, Hishamuddin dan
Shafie Apdal – serta bekas Ketua Menteri Melaka, Mohd Ali Rustam, dan
Pengerusi Felda, Mohd Isa Samad. Seorang lagi yang mungkin turut
menawarkan diri ialah Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir. Kalau
Mukhriz masuk bertanding, beliau akan menjadi calon termuda. Beliau
berusia 48 tahun.
Sudah ada di kalangan penyandang Naib Presiden yang berasa terancam
dengan kemungkinan Mukhriz masuk bertanding dan memberi alasan kononnya
kalau beliau kalah beliau akan malu dan masa depan politiknya terancam.
Dalam mana-mana pertandingan pun mesti ada yang menang dan yang kalah.
Pemilihan kali ini akan menentukan sama ada Umno menjadi parti seiring zaman atau parti yang terperangkap dalam kebekuan masa.
Kalau muka-muka lesu dari abad yang lalu terus memonopoli kepemimpinan,
Umno akan menjadi parti orang tua dan cakap-cakap mengenai penyegaran
semula adalah cakap kosong semata-mata.
Suntikan Darah Baru
Bukan tujuan saya mahu memperkecilkan atau meminggirkan peranan orang
tua (saya pun dalam golongan itu juga), tetapi Umno sangat-sangat
memerlukan suntikan darah baru.
Ini bukan soal sukakan seseorang dan benci kepada yang lain. Ini soal
survival (kelangsungan) Umno.
Kalau dibandingkan dengan parti-parti Pakatan Rakyat, usia kepemimpinan Umno nampak tua dan lesu.
Kalau dibandingkan dengan parti-parti Pakatan Rakyat, usia kepemimpinan Umno nampak tua dan lesu.
Kalau kita ambil kira Naib Presiden yang ada sekarang, umur purata
mereka adalah lebih sikit 53 tahun. Tidaklah terlalu tua, tetapi kalau
mereka terus berada di situ dan tidak berlaku suntikan darah baru, ia
lama-kelamaan akan menjadi jawatan orang tua.
Apabila kita campurkan usia Ali Rustam dan Isa Samad yang telah
menawarkan diri untuk bertanding, usia purata naik kepada lebih 57 tahun
– menjadi lebih tua bukan lebih muda.
Dalam barisan Naib Presiden – termasuk Ketua Wanita dan Pemuda – yang
paling muda ialah Khairy Jamaluddin (37 tahun). Shahrizat berusia 60
tahun. Presiden berusia 60 tahun dan Timbalan Presiden 66 tahun.
Apakah Umno ketandusan pemimpin muda kerana perbuatan menyekat orang
muda yang berpelajaran menyertai parti atau kemajuan mereka dalam
hierarki parti terbantut akibat cantas-mencantas?
Di kalangan ahli biasa MT pun tidak memberangsangkan dari segi usia dan
kaliber. Yang agak muda pun tidaklah “hot” dari segi kelulusan,
peribadi dan perwatakan.
Inilah masanya pemimpin muda Umno yang komited kepada perjuangan parti
mengemukakan pencalonan. Perkenalkan diri anda kepada khalayak. Nyatakan
agenda anda.
Kalah atau menang bukan perkara utama. Yang lebih penting adalah
membuktikan bahawa anda wujud dan Umno tidak ketandusan barisan pelapis
yang komited dan berwibawa.
Jangan di belakang tabir saja berani dan pandai, mengeluh dan menuduh,
tetapi tidak berani mengotakan kata atau boleh dibeli dengan wang dan
janji.
Seperkara lagi yang menjadikan pemilihan kali ini sangat penting adalah
kehabisan mandat Majlis Tertinggi yang ada sekarang. Mandat yang mereka
pegang hari ini bukanlah mandat sah daripada ahli.
Mereka sekadar meneruskan mandat pemilihan tahun 2008 yang disambung
atas alasan parti memerlukan masa dan tenaga menghadapi PRU ke-13.
Mandat mereka sebagai ahli yang dipilih tamat pada Mac atau April 2011.
Sekiranya kali ini jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak ada
pencabar maka Najib akan kekal sebagai Presiden yang tidak menghadapi
cabaran. Dalam pemilihan 2008, Muhyiddin dicabar oleh Muhammad Muhd Taib
bagi jawatan Timbalan Presiden.
Usia ahli biasa MT pun tidaklah menampakkan Umno sebagai parti yang menuju masa hadapan.
Sama ada kepemimpinan Umno akan menjadi kepemimpinan parti orang tua
dan, seperti kata Dr Mahathir, akan mati kerana sakit tua atau akan
mengubah arah menjadi parti sepanjang zaman, bergantung kepada siapa
yang akan mendaftarkan diri pada 21 September ini untuk menjadi calon.
Kalau ada orang muda yang menawarkan diri dan seterusnya dipilih oleh
perwakilan dalam mesyuarat serentak bahagian pada 19 Oktober maka
harapan Umno kekal relevan sebagai parti sepanjang zaman akan menjadi
lebih cerah.
Kalau tidak, masanya akan tiba apabila Umno terkubur atau menjadi parti
rumput di tengah jalan - hidup segan mati tak mahu. Wallahualam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan