Khamis, 5 September 2013

Tun M terus tentang TPPA



Oleh Subky Latif

Bukan saja pembangkang dan pimpinan NGO yang penting meneruskan kempen menentang gagasan Perkongsian Trans Pasifik, malah Dr Mahathir sendiri mengulangi gesaannya supaya Malaysia menolak muafakat yang dipercayai dikepai oleh Amerika itu.

Baginya menjadi sebahagian dari perkongsian akan menjadi negara ini hilang kemerdekaan, saudagar Amerika akan bolot kekayaan dan ekonomi negara kita, syarikat Amerika yang lebih banyak modal akan bukan sekadar jadi sama hak dengan orang/syarikat Malaysia, malah status mereka menyamai bumiputera.

Dari  apa yang Dr Mahathir bayangkan itu saya terfikir dengan kedatangan pelayar Peringgi hendak membeli  sebidang tanah di Melaka sebesar sebidang belulang lembu.  Apa yang Peringgi dapat buat dengan tanah seluas kulit lembu?

Raja Melaka setuju jual tanah secuit itu dengan harga yang tinggi. Dengan persetujuan itu Peringgi tipu raja kita. Dijadikan belulang itu sepanjang-panjang tali, Bila tati dicantum jadilah tanah yang dibelinya itu seluas tali yang tercantum. Tiada dapat Raja Melaka berbuat apa-apa kerana perjanjian sudah disetujui.

Maka itulah mulanya Tanah Melayu dijajah. Agaknya demikian Malaysia akan dijajah semula dengan Pengkongsian Trans Pasifik yang dikepalai Amerika itu. Amerika akan jadi Peringgi baru dan Perdana Menteri Najib akan jadi seperti Raja Melaka.

Tentangan Dr Mahathir bukan sekadar dia dengar dan dia kaji dari sumber luar, dia terus tentang gagasan itu setelah mendengar penjelasan Tok Menteri Mustapa Mohamad. Menteri itu adalah orang paling banyak maklumat tentnang perkongsian itu. Dia dikira orang yang tahu akan untung rugi perkongsian itu.

Setelah dia dengar, Dr Mahathir menentang gagasan itu, dia datang mendapatkan Mahathir menerangkan tentang semua yang dilakukannya untuk menjadi TPP lebih menguntungkan Malaysia  dan dia tentunya cuba meyakinkan Mahathir bahawa TPPA boleh menguntungkan dan Dr  Mahathir tidak perlu bimbang.

Dia ingat Mahathir itu seperti orang Umno Jeli. Apa yang dia kata budak-budak Umno pun mengangguk. Tetapi Mahathir dalam hal TPPA ini adalah seperti pengundi di Kelantan. Apa Umno beri mereka terima, dan apa yang Mustapa kata depa tidak bantah, apabila mengundi mereka tak undi BN. Mahathir dengar apa Mustapa kata, apabila Mustapa keluar pejabatnya, Dr Mahathir ulangi supaya Malaysia jangan bodoh menyertai perkongsian itu.

Mahathir yang mengawal Umno supaya ia terus berkuasa lantang menentangnya kerana tidak mahu Malaysia dijajah semula. Mahathir adalah orang paling getik dengan pembangkang. Tapi dalam isu TPPA dia  tidak boleh bersama kerajaan.

Pertama dia kenal Mustapa lebih dari orang lain. Menteri di bawahnya dulu. Dia boleh buat kerja apa yang  disuruh, mungkin kira-kira seperti kerani. Tetapi untuk berunding dengan Orang Putih belum meyakinkan.

Pengetahuannya tentang perairan ekonomi Kelantan pun tak cukup tahu, justeru disangkanya Kelantan tiada hak atas royalti minyak. Jika hak rakyat Kelantan pun dia sanggup gadai, maka dia boleh jual apa yang Amerika hendak beli mengikut syarat Amerika.

Dia jadi pemimpin Umno Kelantan, apa yang dia dapat buat untuk menawan Kelantan setakat ini. Mungkin tiada orang lain yang cerdik untuk jadi ketua Umno Kelantan. Jika dibandingkan dengan Ibrahim Ali jauhlah Ibrahim Ali lebih lincak daripadanya. Mahathir kenal sangat keupayaannya untuk berunding dengan Amerika.

Mahathir menentang pembangkang sekarang kerana tak mahu Anwar Ibrahim jadi Perdana Menteri. Dia kata Anwar akan jual negara pada Amerika. Tapi  sekarang Najib sedang berkira jual negera pada Amerika. Maka tentangan Mahathir terhadap TPPA tidak terhenti di situ saja. Dia mesti teruskan supaya jangan Najib jual Malaysia melalui TPPA. Lupakan Anwar bersama pembangkang, tetapi marilah bersama pembangkang sebagai usaha menghalang Najib sertai TPP.

Tiada ulasan: