Ahad, 22 September 2013

'Tuduhan Mahathir tak adil pada Umno'


MALAYSIA KINI
 
 
 
Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata, pandangan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Umno kini hanya berjuang untuk diri sendiri tidak berapa adil kepada parti itu.

Katanya, ini kerana Umno masih lagi berjuang untuk orang Melayu dan masih ikhlas memperjuangkan nasib dan memperkasakan kaum itu.

NONE"Kalau sekiranya ada seorang dua pemimpin yang berjuang disebabkan diri sendiri, jangan kerana nila setitik kita hukum semua.

"Kita harus lihat parti secara keseluruhan dan harus melihat kepada keikhlasan kita," katanya ketika diwawancara Bernama.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas artikel berjudul "Umno Dahulu dan Sekarang" oleh Dr Mahathir yang berkata, Umno kini hanya berjuang untuk diri sendiri dan tidak lagi untuk bangsa, agama dan tanah air menyebabkan orang Melayu tidak lagi menyokongnya.

Khairy berkata, keikhlasan dalam Umno juga diterjemahkan dalam bentuk sokongan Melayu dalam pilihan raya umum lepas.

"Kalau betul Umno dah out of touch dengan perjuangannya untuk rakyat biasa terutamanya orang Melayu, sudah pasti bilangan kerusi Parlimen Umno tidak meningkat pada pilihan raya umum lepas dan sudah pasti orang Melayu juga akan menyokong pembangkang," beliau dipetik sebagai berkata.

Tiada ulasan: