Selasa, 24 September 2013

Tindakan Karim mengejutkan, Kedah tidak sokong

 
"Pemuda Umno Kedah tidak tahu dengan tindakan Karim itu, tetapi kami menyokong Khairy," kata Badrul Hisyam.




PETALING JAYA: Keputusan bekas Ketua Pemuda Umno Bahagian Merbok di Kedah, Abdul Karim Ali menawarkan diri bertanding jawatan ketua Pemuda Umno mencabar penyandang Khairy Jamaluddin Abu Bakar menimbulkan tanda tanya.

Ini memandangkan Abdul Karim  tidak memegang sebarang jawatan dalam Umno bahagian, melainkan ahli biasa.

“Kita tidak tahu apa yang difikirkan Karim kerana beliau tidak ada jawatan lagi,” kata seorang ahli jawatankuasa bahagian, Abdul Rahman Ahmad.

Malah Ketua Pemuda Umno negeri, Badrul Hisyam Hashim (gambar)  mendakwa belaiu terkejut dengan keputusan Karim itu.

“Pemuda Umno Kedah tidak tahu dengan tibdakan Karim itu, tetapi kami menyokong Khairy. Khairy telah menjadi ikon orang muda,” kata Badrul Hisyam lagi.

Terdapat lima calon jawatan ketua pemuda iaitu Khairy, Karim, Akramsyah Sanusi, Syed Rosli Syed Harman dan Irwan Ambak Khalid Izhar. Pada pemilihan tahun 2009, Khairy mengalahkan Datuk Mukhriz Mahathir dan Dr Mohd Khir Toyo.

Bekas Ketua Pemuda Umno Bahagian Kubang Pasu, Zulkifli @ Md Ros Ahmad pula menasihatkan Karim supaya ukur baju di badan sendiri. Beliau berkata, keputusan Karim itu dibuat diri sendiri dan tidak pernah diketahui oleh pergerakan pemuda Umno negeri.

“Ini tindakan dan keputusan Karim sendiri, tetapi kita tidak sokong,” tambah Zulkifli lagi.

Turut baca:
Khairi tarik diri ekoran Ku Li tidak tanding

Tiada ulasan: