Ahad, 15 September 2013

Teng Chang Yeow pengerusi baharu Gerakan Pulau Pinang

THE MALAYSIAN INIDER
 

















Bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang Teng Chang Yeow (gambar) dipilih sebagai pengerusi baharu parti Gerakan Pulau Pinang pada pemilihan yang berlangsung hari ini.

Teng menerima 220 undi mengalahkan Baljit Singh Jigiri Singh yang memperoleh 106 undi bagi jawatan yang dilepaskan oleh Datuk Dr Teng Hock Nan itu.

Keputusan pemilihan itu diumum oleh Pengerusi Jawatankuasa Penyeliaan Pemilihan Parti Kebangsaan Tan Sri Dr Chin Fook Weng pada persidangan perwakilan negeri di ibu pejabat Gerakan Pulau Pinang di sini.

 Sebanyak 328 perwakilan daripada 13 bahagian dan 198 cawangan hadir mengundi. Dua direkodkan sebagai undi rosak.

Dalam sidang media selepas itu, Teng berkata matlamat beliau sekarang ialah untuk mengukuhkan Gerakan agar terus relevan dengan rakyat di Pulau Pinang.

"...kerja-kerja pengukuhan parti telah bermula pada saat ini," katanya. Teng sebelum ini membuat kejutan dengan meletak jawatan sebagai Pengerusi BN Pulau Pinang susulan kekalahan teruk Gerakan di negeri itu pada pilihan raya umum lepas.

Sementara itu, Baljit Singh berkata yang penting sekarang ialah merapatkan barisan untuk memperkukuh parti.

"Dalam hal ini tidak timbul soal menang atau kalah, tugas dan tanggungjawab kita adalah untuk kesejahteraan parti serta perjuangkan nasib rakyat di Pulau Pinang," katanya.

Perwakilan hari ini turut memilih enam anggota jawatankuasa Gerakan negeri iaitu Datuk Ng Siew Lai, Puvaniten M. Helan Govan, Lee Boon Ten, Tan Kah Leong, Teh Kheng Siong dan Dr Thor Teong Gee.

Untuk wakil ke persidangan perwakilan nasional pula mereka memilih Chan Kim Beng, Tan Chee Heong, Ooi Ah Bee,  A. R. Velu dan Tan Chuan Koon. - Bernama

Tiada ulasan: