Oleh ALI BUKHARI AMIR ,
RABU yang bermutu. Ketika dalam pawagam, Arif Atan mengirim SMS berhubung keberadaan Sasterawan Negara, A Samad Said di Old Town White Coffee Bangsar. Tawaran bertemu tokoh itu tentu sahaja adalah suatu tawaran yang tidak boleh ditolak
Selesai menonton Tanda Putera, kira-kira jam 2:30 petang, barulah saya tiba ke sana. Tubuh kurus tokoh Sasterawan Negara itu memang mudah dikenal.
Turut hadir bersama, Hazayani Zakaria dan Dawam yang hadir mengiringi temu bual di bawah kelolaan Arif itu.
Oleh kerana sedikit lewat, maka yang sempat singgah di benak fikiran cuma beberapa kisah sahaja. Antara yang sempat disalin dalam nota-nota longgar saya; cerita 22 buah diari peribadinya yang belum terbit, kisah kongsi gelap di Singapura, Mogok Utusan 1961, amalan kerohanian (bacaan Surah Yaasin dan Surah as-Sajadah), puasa Daud a.s. dan gugusan puisi cintanya.
Rupa-rupanya beliau gigih membuat catatan diari sejak lama. Semua ini boleh diabadikan sebagai rakaman sejarah kerana beliau banyak terlibat dalam kegiatan siasah dan kesusasteraan. Terserah kepada kita sama ada rajin atau tidak untuk mengemaskini catatan itu.
Ertinya, beberapa persoalan kehidupan, renungannya mengenai kedudukan kongsi gelap di Singapura termasuk mogok Utusan itu turut dihumban dalam catatan berkenaan.
Bagaimanapun yang paling menarik di hati saya ialah usahanya untuk keluar daripada kegelapan alam jahiliah pada zaman-zaman keremajaannya.
“Saya lakukan amalan ini semua untuk menebus kesilapan lalu,” dia bersuara penuh kejujuran. Oleh kerana dia ingin kembali ke jalan cerah selepas menempuh payah dalam zaman jahiliah, dia kini sudah menetapkan amalan-amalan kerohanian yang menumbuhkan kekuatan dalam usaha melawan kezaliman kerajaan.
“Saya baca Yaasin dan saya tambah dengan as-Sajadah,” katanya lagi. “Kalau puasa, seperti puasanya Nabi Daud a.s.” Lewat bicara petang, saya fikir, Pak Samad mengukuhkan jiwanya dengan siraman firman Tuhan saban hari. Tuhan sedang mengujinya dengan ucapan kurang enak yang terzahir di lidah jahat kaum politikus.
Kini, kata-kata Tuhan yang mententeramkan jiwanya.
Petang terus berlalu dengan kesibukan manusia yang berlegar-legar sekitar Bangsar.
Bualan itu sudah sampai ke penghujungnya. Arif bertanya, sama ada saya ada pertanyaan lain yang mahu dihumbankan.
“Pak Samad dah tonton Tanda Putera?” tanya saya. Dia menunduk, mengiyakan tidak dan mengangguk pun bukan.
Lama dia merenung jauh ke bawah, entah merenung apa di lantai. Saya fikir, dia mencari-cari jawapan.
Namun, akhirnya dia memalingkan wajah ke arah saya, dengan berseloroh dia berkata, “Tandas Putera...”
Ketawa berderaian. Namun, tidak dapat dijangka, apakah beliau tonton atau tidak filem itu. Saya pernah terserempak dengan Pak Samad sesekali di Mid Valley pada Sabtu pagi. Dia belajar dengan filem yang ditontonnya hatta filem itu dilihat kurang bermutu seperti kisah cinta anak-anak muda remaja.
“Saya mahu tahu apa yang ada dalam fikiran anak muda hari ini dengan menonton filem ini,” kata Pak Samad dalam acara yang pernah saya hadiri tidak lama dahulu. Ertinya, Pak Samad tonton filem-filem yang kerap dianggap murahan dengan tujuan ingin menangkap isi fikiran orang-orang muda sekarang.
Tapi, kenapakah beliau mendiamkan diri ke atas pertanyaan, “Adakah Pak Samad sudah tonton Tanda Putera?” Hal ini, tentu sahaja menjadi tanda tanya ke atas filem propaganda yang kerap ‘ditanda-tanda’ orang berhubung kewujudan CCTV, penghawa dingin dan lain-lain ‘tandaan’ di Facebook dan blog.
Adakah bagi Pak Samad, menonton filem cinta anak muda remaja ternyata lebih membawa bahagia dan ketenangan bagi dirinya dibanding filem propaganda Tanda Putera? Entahlah. Hati tuanya cukuplah sukar diduga. Barangkali, hati tuanya sudah banyak terusik dengan kata-kata nakal Nazri Aziz, Muhyiddin Yassin dan Ali Rustam.
Di sana-sini, segalanya menderuderu fitnah tohmah berangkai menganjurkan penghinaan dan permusuhan ke atas dirinya. Tapi, tubuh tua Pak Samad tetap bertahan di tengah-tengah pertuduhan dan kecaman liar itu.
Ketika hampir selesai temu bual, seorang gadis menghampiri dan bertanya saya, “Ini Pak Samad ‘kan?” Saya mengangguk.
Dia ingin bergambar dengan tokoh berkenaan. Orang di sekeliling memerhati dengan pandangan yang sebagai mana layaknya diterima oleh seorang tokoh kenamaan. Ya, kecaman liar kaum politikus tidak berbekas banyak di hati orang.
Tiada orang pintar cerdas yang membenci sosok tuanya. Akhbar propaganda sudah gagal!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan