Ahad, 15 September 2013

Tahalus siasi boleh dikaji tetapi bukan undur ke belakang, kata Nik Aziz

OLEH DIYANA IBRAHIM


Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersetuju dikaji kedudukan PAS di dalam Pakatan Rakyat, tetapi kaji hanya untuk penambahaikan, bukan kaji untuk mengundur ke belakang.

"Kaji untuk berundur ke belakang hanyalah memberikan pelampung kepada Umno yang sedang kelemasan," katanya.

Beliau dipercayai mengulas resolusi Multaqa Ulama Semalaysia yang dianjurkan Dewan Ulama PAS semalam.

 Bagi Nik Aziz (gambar), kerjasama politik PAS  dalam Pakatan Rakyat bukannya diputuskan oleh beberapa individu malah ia merupakan keputusan kolektif pimpinan PAS dan diperkuatkan melalui Muktamar Tahunan PAS yang berlangsung selepas pilihan raya umum (PRU) 2008.

Menurut beliau, PAS tidak merasa kesal apabila menyertai Pakatan Rakyat dan keputusan parti tersebut untuk bergabung merupakan satu tindakan tepat.

"Saya melihat keputusan ini tidak sekali-kali silap bahkan ia lebih membawa PAS ke hadapan pentas politik di Malaysia. Lebih bermakna daripada itu, PAS berjaya mempersembahkan Islam kepada bukan Islam dengan cara yang tidak pernah dilakukan oleh Umno kerana parti itu bukan setakat menjauhkan bukan Islam daripada Islam bahkan menjauhkan orang Islam sendiri dari memahami agama mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah  beliau, pendekatan Islam yang dibawa oleh PAS  selama ini tidak pernah ditentang malah pemimpin-pemimpin DAP khususnya  sentiasa berbincang tentang nilai-nilai Islam.

"Ada yang datang mengungkapkan istilah-istilah perundangan syarak yang kadang-kadang pemimpin Umno sendiri pun barangkali tidak pernah bersua dengan istilah sebegini," katanya lagi.

Ekoran itu beliau menggesa PAS untuk segera membuat perubahan terutama dalam memahami selok belok suasana politik agar parti yang bertunjangkan gerakan Islam akan terus kekal relevan di pentas politik negara.

"Selagi tidak bertentangan dengan prinsip asas syariat, jangan mengurung PAS di dalam kandang pemikiran yang kita sendiri cipta. PAS membawa nama Islam di dalam perjuangannya, maka wajiblah ke atas PAS untuk mempersembahkan Islam dengan wajah terbaik kepada masyarakat Malaysia," katanya.

Nik Aziz turut mengulas mengenai pandangan dibangkitkan Yang Berhormat Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan ketika di Johannesburg, Afrika Selatan apabila dinegara itu zakat diberikan oleh orang Islam kepada bukan Islam.

"Di Malaysia, di bawah asnaf muallaf, hanya orang yang baru memeluk agama Islam menerima zakat sedangkan muallaf juga boleh jadi seorang bukan Islam yang hampir lembut hatinya untuk memeluk Islam dan juga seorang non muslim yang sangat tegar memusuhi Islam namun jika diberikan zakat, permusuhannya itu kendur," Nik Aziz berkata.

Jelasnya ia sebagai satu lagi contoh bagaimana aspek pengamalan Islam secara praktikal di Malaysia masih belum tepat dengan wajahnya yang sebenar dan ia perlu diperbaiki oleh PAS.

Malah ia turut menandakan misi sebenar PAS di dalam Pakatan Rakyat biarpun ingin memburu kemenangan di dalam pilihanraya namun turut memikul tanggungjawab dakwah yang besar di pentas politik.

"Harapan saya agar ia dapat menguatkan iltizam kita semua di dalam memperkukuhkan PAS sebagai parti politik yang berdasarkan Islam," katanya.

Semalam Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Harun Taib mencadangkan agar parti Islam itu mengkaji balik tahaluf siasi (kerjasama politik) yang dibuatnya dengan PKR.

"Amat wajar sekali tahaluf siasi bersama PKR ini dikaji setelah berlaku perkara-perkara yang boleh melemahkan PAS dan merosakkan hubungan di dalam tahaluf siasi," kata Harun.

Cadangan itu dikemukakan beliau melalui ucaptama kepada Multaqa Ulama Semalaysia yang diadakan di Kota Sarang Semut, Alor Setar hari ini.

Ekoran itu multaqa itu membuat resolusi agar Majlis Syura dan AJK PAS Pusat mengkajinya.

Dalam pilihan raya lalu PAS menang 21 kerusi Parlimen dan hilang kerajaan negeri Kedah berbanding PRU-12 menang 23 kerusi Parlimen dan menang di Kedah.

Bagi melaksanakan kajian ini Harun dalam kertasnya itu mencadangkan agar satu jawatankuasa khas ditubuhkan untuk mengkaji dan menilai kemerosotan sokongan pengundi Melayu ekoran tahaluf siasi dengan PKR.

"Pertukaran, perebutan dan penyerahan kerusi potensi PAS kepada PKR juga antara faktor yang perlu dikaji kembali dan ia antara faktor utama yang perlu diberi perhatian," kata Harun.

Tiada ulasan: