Isnin, 16 September 2013

'Tahaluf Siyasi’ langkah tepat

 
Keberadaan PAS dalam Pakatan Rakyat adalah merupakan langkah yang sangat tepat dengan realiti politik negara, kata Nik Aziz. 



PETALING JAYA: Mursyidul Am PAS Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan bahawa keberadaan PAS di dalam Pakatan Rakyat sekali-kali bukan merupakan langkah yang silap, bahkan ia merupakan langkah yang sangat tepat dengan realiti politik negara.

“Berhubung kedudukan PAS di dalam Pakatan Rakyat, jika mahu dikaji, silakan. Tetapi kaji hanya untuk penambahbaikan, bukan kaji untuk mengundur ke belakang.

“Kaji untuk berundur ke belakang hanya memberi pelampung kepada Umno yang sedang kelemasan,” katanya ketika mengulas resolusi mengkaji Tahaluf Siyasi dengan PKR dan DAP pada Multaqa Ulama se-Malaysia di Kompleks PAS Kota Sarang Semut dekat Alor Setar semalam.

Bekas menteri besar Kelantan itu berkata demikian dalam satu kenyataannya hari ini sebagai merujuk kepada akhbar Sinar Harian di bawah tajuk besar “Pakatan rugikan PAS?”

Akhbar milik Umno, Mingguan Malaysia pula hari ini di bawah tajuk “Pengaruh PAS semakin lemah” antara lain melaporkan bahawa Multaqa tersebut mencapai beberapa resolusi termasuk cadangan mengkaji semula Tahaluf Siyasi (kerjasama/persefahaman politik) dalam pakatan pembangkang khususnya PKR dan DAP.

Ujar Nik Aziz, “perlu dijelaskan bahawa penyertaaan PAS melalui Tahaluf Siyasi di dalam Pakatan Rakyat bukannya diputuskan oleh beberapa individu sahaja.

“Ia diputuskan oleh keputusan kolektif pimpinan PAS dan diperkuatkan melalui Muktamar Tahunan PAS yang berlangsung selepas pilihan raya umum 2008.

“Saya melihat keputusan ini tidak sekali-kali silap bahkan ia lebih membawa PAS ke hadapan pentas politik di Malaysia,” jelas beliau.

Menurut beliau, PAS berjaya mempersembahkan Islam kepada non Muslim dengan cara yang tidak pernah dilakukan oleh Umno.

Umno katanya, bukan setakat menjauhkan bukan Islam daripada Islam bahkan menjauhkan orang Islam sendiri dari memahami agama mereka.

Tegas beliau, “senjata Umno ialah perkauman, lambang Umno ialah keris tidak bersarung, politik Umno ialah politik samseng jalanan, sampai bila-bila non-Muslim tidak akan melihat keindahan Islam melalui cermin mata politik Umno yang penuh dengan habuk kebangsaan.

“Dalam Pakatan Rakyat, pendekatan Islam yang dibawa oleh PAS tidak pernah ditentang. Pemimpin-pemimpin DAP khususnya seringkali datang ke pejabat saya berbincang tentang nilai-nilai Islam,” jelasnya.

Sementara itu, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, PAS tidak melihat sebarang kemungkinaan untuk keluar daripada Pakatan Rakyat, sebaliknya mahu memperkuatkan lagi pakatan politik tersebut.
 
Presiden PAS itu berkata demikian ketika menjawab pertanyaan pemberita pada sidang media selepas majlis penutupan Multaqa Ulama Se-Malaysia di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut dekat sini semalam.
 
Mengulas resolusi multaqa yang mencadangkan supaya tahaaluf siyaasi bersama rakan-rakan Pakatan Rakyat disemak semula, beliau berkata sehingga kini PAS tetap bersama-sama dalam Pakatan Rakyat.
 
“Semua urusan termasuk penyusunan ahli-ahli parlimen seperti yang kita setuju dengan apa yang ada pada hari ini dan juga penyertaan dalam parlimen dan dewan undangan negeri, kita masih tetap bersama,” katanya dipetik dari harakahdaily.

Tiada ulasan: