Khairy Jamaluddin
SHAH ALAM - Perebutan jawatan Ketua Pemuda Umno kini menjadi tumpuan apabila seorang ahli Umno dari Selangor menawarkan diri bertanding jawatan nombor satu sayap parti pada pemilihan parti itu bulan depan.
Syed Rosli Syed Harman Jamalullail, 37, yang juga Penolong Setiausaha Pemuda Cawangan Pusat Bandar Taman Chempaka, dalam Bahagian Pandan menghubungi Sinar Harian mengumumkan hasratnya bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno.
Tidak menyandang apa-apa jawatan di peringkat Pemuda Bahagian mahupun Pusat bukan penghalang bagi Syed Rosli yang telah menjadi ahli Umno selama 19 tahun untuk mencabar penyandangnya, Khairy Jamaluddin.
“Keputusan untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno ini sudah difikir masak-masak dalam masa sebulan ini malah saya turut mendapat restu beberapa ketua pemuda di peringkat cawangan dan bahagian serta ahli akar umbi.
“Borang pencalonan juga sudah diambil di PWTC pada Sabtu lalu dan saya tidak sabar untuk menyerahkan borang yang siap diisi pada Sabtu ini,” katanya.
Menurutnya, beliau tidak gentar berdepan dengan Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan kerana yakin sudah tiba masanya sayap Pemuda Umno dipimpin oleh pemimpin dari akar umbi.
Katanya, tujuan untuk bertanding pada pemilihan parti kali ini adalah kerana melihat perjuangan kepimpinan Pemuda Umno sekarang sudah jauh tersasar daripada perjuangan Umno yang asal terutama isu mempertahan hak istimewa orang Melayu, agama Islam dan kedaulatan Institusi Raja- Raja Melayu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan