Selepas Mursyidul Am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, kini Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, iaitu jurucakap rasmi PAS, pula menegaskan komitmen parti itu untuk mengukuhkan Pakatan Rakyat (PR) dan bukannya mengkaji balik keperluannya.
Kenyataan ketiga-tiga tokoh utama PAS ini memberikan tamparan hebat kepada cadangan yang dibuat oleh Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Harun Taib agar tahaluf siasi (kerjasama politik) PAS dengan PKR dikaji balik.
Dalam ucaptama di Multaqa Ulama SeMalaysia (gambar) di Alor Setar, Harun mencadangkan agar tahaluf siasi dikaji balik "untuk mengkaji dan menilai kemerosotan sokongan pengundi Melayu kepada PAS serta menilai kembali tahaluf siasi terutamanya dengan PKR sejauh mana ia menguntungkan PAS".
The Malaysian Insider difahamkan, cadangan yang terdapat dalam kertas ucaptama ini tidak dibaca oleh Harun. Bagaimanapun idea ini diperkukuhkan melalui resolusi multaqa.
"PAS ingin menegaskan komitmen kita untuk memperkukuhkan Pakatan Rakyat dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang," kata Tuan Ibrahim dalam satu kenyataannya.
Menurut Tuan Ibrahim (gambar), segala kelemahan yang timbul akan diperbaiki melalui meja rundingan.
PAS mengalu-alukan sebarang cadangan serta komentar dari mana-mana Dewan dan pandangan dalaman untuk meneliti apa jua unsur yang dianggap bertentangan dengan syarak, katanya.
"PAS melihat resolusi dari Dewan Ulama hasil Multaqa Ulama sebagai sesuatu yang menepati demokrasi dalam PAS, kerana Dewan Ulama sebagai sayap penting parti sewajarnya membuat rumusan bagi pihak dewan yang diwakili," katanya.
Sehubungan itu, PAS Pusat berharap Dewan Ulama dapat mengemukakan perkara yang menjadi kebimbangan mereka itu, tambah Tuan Ibrahim.`
Dalam kenyataannya juga, Tuan Ibrahim berkata, cadangan Dewan Ulama supaya jawatan tertinggi parti dipilih daripada ulama, akan diputuskan oleh para perwakilan.
"Sebagaimana juga dewan-dewan lain akan mengangkat dewan yang mereka wakili; terpulang kepada perwakilan untuk bersetuju atau sebaliknya dengan cadangan dari Dewan Ulama itu.
"PAS melihat ketentuan jawatan adalah hak perwakilan untuk memilih. Perlembagaan parti jelas memberi hak kepada perwakilan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan