Jumaat, 6 September 2013

Sarawak perlu 100,000 unit Rumah Mampu Milik

Harakahdaily,

KUALA LUMPUR: PAS Sarawak menggesa kerajaan BN membina lebih banyak rumah mampu milik di negeri itu memandangkan Sarawak mempunyai keluasan tanah yang luas sedangkan ramai rakyatnya masih tidak mempunyai rumah.

Dalam kenyataan medianya, Timbalan Pesuruhjaya PAS Sarawak, Jofri Jaraiee (gambar) berkata, harga rumah di Sarawak adalah antara yang termahal di Malaysia sedangkan ramai penduduk tempatan yang berpendapatan rendah dan sederhana tidak mampu memiliki rumah sendiri kecuali mereka yang terpaksa membeli rumah kos rendah yang kecil dan kurang berkualiti.

Jelasnya, BN telah berjanji untuk membina sejuta rumah mampu milik termasuk 500,000 unit di bawah Projek Perumahan 1Malaysia (PR1MA) yang digerak oleh sektor awam dan swasta.

"Menurut laporan akhbar tempatan baru-baru ini, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan bertekad membantu negeri Sarawak memenuhi keperluan perumahan mampu milik untuk rakyatnya dalam perancangan untuk lima tahun akan datang," ujar beliau.

Kerajaan BN negeri, jelas beliau berjanji untuk membina 50,000 unit rumah dengan kerjasama JPN, Perumahan 1Malaysia (PR1MA) dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) selain agensi negeri yang berkaitan.

Sambil mengalu-alukan hasrat kerajaan negeri itu, beliau bagaimanapun mahu jumlah unit rumah itu ditambah kepada 100,000 unit bagi menampung keperluan penduduk tempatan Sarawak yang masih belum memiliki rumah sendiri.

"Syarat untuk memiliki rumah mampu milik juga perlu dipinda dari umur 21-50 tahun kepada 21-55 tahun dengan pendapatan isi rumah sekurang-kurangnya RM5000 ke bawah.

"Harga rumah mampu milik juga perlu dikaji semula sekurang-kurangnya dari RM200,000 ke bawah dengan konsep rumah mesra seperti skim perumahan rakyat di zaman Tun Datuk Patinggi Abdul Rahman Ya'kub (1970-1981) memerintah Sarawak dulu, di mana rakyat diberi se-lot sebuah rumah," katanya.

Tiada ulasan: