Isnin, 2 September 2013

Saifuddin Nasution ambil tugas majukan desa Selangor

OLEH HASBULLAH AWANG CHIK



















Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan Datuk Saifuddin Nasution Ismail akan menjalankan tanggungjawab membangunkan aktiviti pembangunan desa di Selangor.

Beliau berkata, Setiausaha Agung PKR itu akan menggalas tanggungjawab berkenaan selepas program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) itu menampakkan kejayaan.

“Ini tambahan kepada program sedia ada supaya kemajuan di luar bandar di kawal selia menerusi pelbagai aktiviti selepas mengenal pasti kumpulan sasaran untuk dibantu. Kita akan jalankan program itu dengan menjelajah ke setiap daerah di Selangor dan Saifuddin diberi tanggungjawab mengendalikannya.



 “Tugas itu tidak memberikan masalah kepada Saifuddin walaupun beliau sibuk dengan urusan parti, dan apa yang penting ialah menjalankan tugas yang diamanahkan,” katanya dipetik dari portal Selangorku, hari ini.


Abdul Khalid berkata, perkara berkenaan bukan isu besar kepada Saifuddin kerana situasi sama pernah dialaminya ketika berkhidmat di Guthrie Berhad apabila diamanahkan mengawal selia pembangunan ekonomi Islam yang menyebabkannya sentiasa bertugas di luar.

Katanya, kerajaan negeri juga akan memberi penerangan mengenai manifesto pilihan raya supaya rakyat mendapat gambaran jelas mengenai program Pakatan Rakyat di bawah kelolaan Exco Selangor bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) negeri itu.

Minggu lalu, sebuah portal melaporkan Saifuddin belum masuk ke pejabat untuk memulakan tugasnya sebagai Ketua Staf di pejabat Menteri Besar sambil memetik kenyataan Khalid mendakwa teknologi moden tidak memerlukan seseorang untuk datang ke pejabat.

Media itu melaporkan Saifuddin ditempatkan di Tingkat 5, berhampiran Bahagian Sektoral, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) sedangkan pegawai kanan Khalid termasuk Faekah Husin dan Setiausaha Akhbar, Arfa Aziz bertugas di Tingkat 20 dan 21 yang menempatkan pejabat Khalid.

Laporan itu turut mendedahkan Saifuddin perlu melapor diri kepada Faekah yang sebelum ini dikritik akar umbi PKR lantaran tingkah lakunya yang sering bertindak melebihi Khalid dalam urusan parti.

Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Kongres Nasional PKR ke-9 mengumumkan Saifuddin menjadi perantara PKR Selangor dengan PKR Pusat.

Saifuddin dipertanggungjawabkan untuk memantau dasar kerajaan negeri untuk memastikan ia selari dengan hala tuju yang ditetapkan PKR.

Tiada ulasan: