Ahad, 22 September 2013

Retak Umno menanti ‘pembelahnya?’



Oleh WAN NORDIN WAN YAACOB 


TIBA masa pemilihan bagi jawatan dalam Umno, setiap pemimpin di pelbagai lapisan mula mencongak kedudukan mereka untuk dipertahan, ataupun untuk ke hadapan bagi mencuba nasib di peringkat yang lebih tinggi.

Umno dalam sejarahnya telah beberapa kali menghadapi situasi sukar kerana perebutan jawatan nombor satu khasnya semasa pertikaman antara Tun DrMahathir Mohamad dengan Tengku Razaleigh Hamzah yang mencetus perpecahan hingga wujudnya Semangat 46.

Begitu juga detik perpecahan yang dicetuskan oleh Dr Mahathir semasa Tun Abdullah Ahmad Badawi menerajui Umno dan Malaysia selepas rekod cemerlang Abdullah dalam pilihan raya umum 2004, dan diikuti rekod buruk Abdullah pada PRU2008.

Mahathir dalang?

Dr Mahathir menjadi 'dalang' di sebalik jatuhnya Abdullah dengan kritikan dan serangan tajam yang akhirnya dimanfaatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ketika itu Naib Presiden Umno.

Muhyiddin selepas kejatuhan Najib mendapat laba dengan menjadi Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri, sementara Dato' Seri Najib Tun Razak menerajui Umno hingga kini.

Sebagai 'hadiah' daripada mencetus kejatuhan Abdullah itu, Mahathir dianugerahkan jawatan 'De Facto Menteri Besar Kedah' dengan anaknya, Dato' MukHriz Mahathir menerajui Kedah dengan bayang-bayangnya.

Mahathir juga mencipta retak dalam Umno semasa krisisnya dengan Dato' Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998 sehingga mencapai klimaks dengan adegan 'usung tilam' tuduhan skandal sodomi pertama.

Ketika itu, Umno berpecah dua dengan beberapa orang kepercayaan Anwar menuruti langkah Anwar untuk menentang kerajaan pimpinan Mahathir.

Bagaimanapun menjelang PRU 2008, beberapa rakan karib dan pengikutnya seperti Ezam Mohd Noor yang setia kembali ke dalam Umno semula kerana lemas dengan perjuangan menentang Mahathir.

Kemudian, berlaku pelbagai adegan keretakan dalaman Umno termasuk di peringkat sayapnya dalam pemilihan terutama semasa Khairy Jamaluddin menentang Mukriz dan Dato' Seri Mohamed Khir Toyo.

Begitu juga dengan perbalahan dalaman Wanita Umno sejak Tan Sri Rafidah Aziz, dan kemudian Dato' Seri Shahrizat Abdul Jalil menerajui sayap wanita itu.Hingga kini perbalahan dan 'adegan tarik rambut' tidak selesai.

Benih keretakan bermula

Kini, benih-benih keretakan kembali bertebaran dalam Umno. Ahli Parlimen Pulai, Nur Jazlan Mohamed memulakan perang dengan mengatakan rakyat sudah muak dengan Umno berikutan janji untuk berubah yang dilafazkan sebelum pilihan raya tetapi tidak ternampak perubahan sebaik memenangi pilihan raya.

Kenyataan anak kepada bekas Setiausaha Agung Umno, Allahyarham Tan Sri Mohammad Rahmat ini pandai memasang jerat dalam merencah ideanya hingga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Dato' Seri Mohammed Nazri Aziz bersetuju dengan pandangan Jazlan bahawa Umno mesti berubah untuk kekal relevan.

Namun perubahan yang bagaimana hendak dibayangkan Jazlan sekiranya Umno masih lagi diterajui oleh pemimpin yang sama tanpa 'mendapat mandat baharu' dalam pemilihan parti iaitu Najib dan Muhyiddin?
Najib dan Muhyiddin hanya menang dengan negosiasi selepas Abdullah mengundurkan diri pada tahun 2009, setelah diganyang teruk oleh Mahathir kerana Umno-BN cedera parah dalam PRU 2008.

Jazlan sendiri mungkin memiliki impian untuk ke tangga yang lebih tinggi dalam hierarki Umno kerana beliau sendiri antara yang lantang dan membawa idea-idea baharu untuk pembaharuan sebuah parti yang terpalit dengan rasuah dalam pemilihan.

Namun, idea Jazlan mendapat tentangan oleh sepupu Najib iaitu Menteri Pertahanan dan Naib Presiden Umno, Dato' Seri Hishammuddin Hussein dan menuduh bahawa kenyataan itu datang kerana Jazlan mengumumkan mahu bertanding sebagai Ahli Majlis Tertinggi Umno kali ini.

Apa ada dengan Muhyiddin?

Jazlan barangkali muak dengan sistem yang masih diteruskan Umno kini dengan mereka yang kalah dan tidak bertanding, namun memiliki kuasa hingga diberi pula jawatan lain yang bertaraf menteri oleh Najib pasca PRU13.

Janji peremajaan Umno dan BN serta yang lebih penting peremajaan negara akhirnya menjadi impian kosong.Kini Jazlan mungkin tidak keseorangan kerana Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah bisa sahaja mengintai ruang untuk menentang Najib.

Ditambah lagi orang nombor dua Umno (Muhyiddin) mempunyai rekod pernah bersama Mahathir dalam memastikan Abdullah jatuh, pastinya Muhyiddin tidak boleh duduk selesa hanya dengan menjadi pembantu Najib sampai bila-bila.

Mungkin Muhyiddin tidak menunjukkan sifatnya kali ini untuk mendepani cabaran merebut kedudukan tertinggi dalam Umno dan kerajaan, namun angin sepoisepoi bahasa mula bertiup di telinganya membisikkan 'bila lagi hendak ke posisi Presiden Umno.’ Muhyiddin juga senior dalam Umno.Beliau pernah menerajui Johor selaku Menteri Besar, sama seperti Najib yang pernah menerajui Pahang semasa dipikat Datin Seri Rosmah Mansor untuk bersama menjadi pasangan hidup.

Sama ada hasrat Muhyiddin akan terus tersemat dalam hatinya sehingga ada 'pemecah' yang akan memecahkan kebuntuannya sebagai 'kelindan' Najib, Muhyiddin juga mungkin memasang strategi yang akan terluah oleh merekamereka yang bersama dengannya untuk memulakan perang dalaman.

Seorang rakan dalam Umno menyebut, sekiranya Muhyiddin berani untuk bersuara bagi mencabar kedudukan Presiden, beliau yakin akan ada sokongan untuknya termasuk daripada Mahathir sendiri.

Dalam adegan ini, sikap Jazlan mengkritik Umno boleh menjadi rujukan kepada Muhyiddin dalam konteks lain iaitu menegur Najib dalam setiap geraknya.

Namun, sejauh mana Muhyiddin memiliki keberanian dengan azam untuk mencapai 'climaks' dalam persaingan politiknya beliau mungkin sekali harus berkira- kira dalam pemilihan kali ini sebelum Umno karam dalam PRU14 atau memuncakkan rasa muak rakyat.

Tiada ulasan: