MADINAH - Kerja naik taraf bandar Madinah dan pembesaran Masjid Nabawi di sini tidak menganggu pergerakan jemaah haji di sekitar bandar itu.

Ketua Muassasah Adilla bagi Asia Tenggara di Madinah Dr Yusof Ahmad Hawala berkata, walaupun projek menaik taraf Masjid Nabawi itu adalah yang terbesar dalam sejarah sejak pembinaannya, namun kerajaan Arab Saudi telah mengambil pertimbangan mengenai keselesaan orang ramai yang mengunjungi di bandar itu sempena musim haji.

Menurut laporan media tempatan, projek pembesaran Masjid Nabawi itu kelak dapat menampung sebanyak 1.6 juta jemaah berbanding 800,000 orang sebelum ini.   

"Proses (pembesaran) awal sebenarnya telah bermula di bahagian timur masjid dengan meroboh beberapa buah hotel berhampiran. Ia akan diteruskan tanpa mengganggu mereka yang tinggal di Madinah," katanya kepada wartawan Malaysia di sini.

Duta Malaysia di Arab Saudi Datuk Syed Omar Al Saggaf membantu menterjemahkan ke dalam bahasa Malaysia wawancara dengan Dr Yusof itu.

Beliau berkata, kerajaan Arab Saudi sentiasa melakukan perubahan dari semasa ke semasa untuk mempertingkatkan lagi kemudahan kepada orang ramai terutamanya jemaah haji di Madinah dan ia boleh disaksikan oleh mereka yang pernah mengunjungi tanah suci itu.

Dr Yusof juga berkata, Malaysia menjadi contoh terbaik kepada negara lain dalam mengurus dan mendidik jemaah haji yang sekali gus melicinkan pihak Muassasah  memberikan perkhidmatan yang lebih berkesan. - Bernama