Isnin, 30 September 2013

PRK Sungai Limau: PAS Harap Awal November - Mustafa



Mustafa Ali


PETALING JAYA: Waktu yang dilihat paling sesuai untuk mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau adalah pada awal November ini.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata awal November dianggap sesuai kerana ia tidak bertembung dengan Muktamar Tahunan PAS ke-59 dan pemilihan Umno juga telah selesai pada waktu itu.

"Seboleh-bolehnya janganlah dibuat ketika muktamar PAS. Saya kira waktu paling 'cantik' ialah awal bulan November sebelum muktamar PAS dan selepas pemilihan Umno.

"Boleh buat (PRK), tapi kalau boleh kita minta dielakkan," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Isnin.

Muktamar PAS dijadualkan akan berlangsung pada 20 hingga 24 November ini manakala PRK DUN Sungai Limau perlu diadakan selewat-lewatnya pada 27 November.

Pemilihan Umno pula akan diadakan pada 11 dan 19 Oktober ini.

Mustafa berkata sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan PRK diadakan pada hujung November, ia sedikit-sebanyak akan mengganggu perjalanan mukatamar PAS.

"Jika diadakan pada hujung November, sudah tentu tempoh berkempen termasuk dalam waktu yang sama kita mengadakan muktamar," katanya lagi.

Mengulas mengenai perkembangan dan persediaan menghadapi PRK, Mustafa berkata PAS negeri telah pun mengadakan mesyuarat berkaitan isu tersebut baru-baru ini.

Katanya, PAS negeri akan mencadangkan tiga nama calon sebelum diputuskan oleh PAS Pusat.

Mengenai peluang PAS mempertahankan DUN Sungai Limau, Mustafa yakin dan optimis PAS akan mengekalkan kerusinya itu.

Tambahnya, PAS juga tidak menghadapi masalah untuk meletakkan calon berkaliber bagi menghadapi calon Barisan Nasional (BN).

"Kita yakin boleh menang tapi kita tidak akan mengambil mudah pilihan raya ini," katanya.

Dalam perkembangan sama, Mustafa turut ditanya mengenai Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar yang menggesa supaya PRK diadakan sebelum pembentangan Bajet 2014, 25 Oktober ini.

Mahfuz berkata PRK DUN Sungai Limau perlu diadakan sebelum pembentangan Belanjawan 2014 bagi mengelak pelbagai persepsi yang akan timbul daripada pengumuman yang didakwa akan disalahgunakan oleh kerajaan untuk meraih undi rakyat.

"Itu mungkin pandangan peribadi beliau," katanya.

PRK DUN Sungai Limau akan diadakan ekoran kematian bekas menteri besar, Tan Sri Azizan Abdul Razak, 26 September lalu.

Azizan yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah, berkhidmat sebagai menteri besar Kedah yang ke-10 selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) pada 2008.

Pada PRU-13 Mei lalu, Azizan mempertahankan kerusi yang disandangnya dengan memenangi majoriti undi 2,774 dalam pertembungan empat penjuru

Tiada ulasan: