SHAH ALAM - Usaha untuk memperkasakan bahawa kebangsaan menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 mendapat maklum balas positif daripada Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli.

Walau bagaimanapun, kajian secara menyeluruh katanya perlu dilaksanakan dan pandangan semua pihak harus didengar terlebih dahulu.

"Pandangan-pandangan ini kita perlu dengar daripada semua pihak dahulu, sebab memang pendekatan PKR selama ini memang kita letakkan memperkasakan bahasa kebangsaan sebagai asas kita," katanya kepada wartawan ketika ditemui di pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) hari ini.

Katanya, terdapat reaksi berhubung pelan ini yang dilihat bakal menjejaskan masa pembelajaran subjek lain khususnya Matematik dan Sains, apabila 60 minit masa tambahan untuk subjek Bahasa Melayu dilaksanakan.

"Kita telah bincang secara mendalam di Biro Politik semalam, dan kita buat keputusan untuk duduk (berbincang) dengan pihak-pihak yang terbabit sebab ada beberapa isu yang timbul.

"Tapi bila kita bincang dengan Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina (Dong Zong), mereka ada pandangan yang sedikit berbeza iaitu mereka (Dong Zong) tidak ada masalah untuk meningkatkan tempoh masa belajar Bahasa Melayu dari 180 ke 200 minit sebenarnya.

"Cuma bagi mereka bila dinaikkan dari 180 kepada 240 minit, 60 minit tambahan itu akan mengurangkan masa pembelajaran Sains dan Matematik," katanya.

Menurut Rafizi, Biro Pendidikan PKR ditugaskan untuk mengkaji terlebih dahulu pandangan pihak terbabit di peringkat Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) dalam tempoh seminggu sebelum memaklumkan pendirian PKR secara rasmi.

Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini melancarkan PPPM 2013 yang menggariskan tambahan masa 240 minit untuk pembelajaran subjek Bahasa Melayu di sekolah vernakular seluruh Malaysia.

Beliau memberi jaminan, pendekatan ini sama sekali tidak akan menghapuskan pembelajaran bahasa ibunda masing-masing di sekolah vernakular.

Bagaimanapun, ada Persatuan Pendidikan Cina yang gagal mendapat maklumat tepat berhubung pelan berkenaan sehingga bertindak menolak pelan terbabit.

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh semalam menegaskan, kerajaan tetap akan melaksanakan PPPM walaupun ia mendapat reaksi negatif sesetengah pihak.