Kritikan Khairy Jamaluddin Abu Bakar terhadap kenyataan Naib Pengerusi PKR N. Surendran hanyalah satu retorik bagi mengekalkan kuasanya dalam Umno setelah jawatannya bakal dicabar dalam pemilihan parti Melayu itu kali ini, kata Latheefa Koya (gambar).
Menurut Pengerusi Biro Guaman dan Hak Asasi Manusia PKR itu, tiada kerajaan dalam mana-mana negara boleh menghina Perlembagaan sewenang-wenangnya dan atas dasar itulah N. Surendran mengkritik Datuk Seri Najib Razak kerana memberi tafsiran yang salah kepada Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.
“Artikel 153 bukanlah jalan pintas kepada kerajaan menjalankan polisi diskriminasi seperti mengagihkan pegangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), kontrak dan segala bentuk yang terdorong kepada kaum Melayu sahaja.
“Peruntukan berkenaan jelas menyatakan hak dan kepentingan kaum lain mesti dilindungi kerana Artikel 153 hanya mengehadkan peluang dalam perjawatan awam, biasiswa, pendidikan dan lesen operasi perdagangan kepada kaum Bumiputera tetapi peruntukan ini tidak harus dimonopoli oleh kelas pertengahan dan golongan Melayu kelas atasan.
“Peruntukan dalam Artikel 153(4) hingga (9) jelas menyatakan keistimewaaan itu mesti diberi secara berpatutan dan tidak mengabaikan kaum lain. Pengumuman Najib memberi bantuan kewangan, sokongan GLC dan perumahan jelas satu polisi diskriminasi kerana diberikan atas sokongan golongan tersebut kepada Barisan Nasional (BN) yang jelas tidak belandas perlembagaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam media melaporkan Khairy menyelar Surendran seolah-olah tidak mahu mengiktiraf kewujudan agensi di bawah kerajaan yang bertujuan menjaga kepentingan orang Melayu dan Bumiputera.
"Kenyataannya keterlaluan. Dia seolah-olah tidak membenarkan kewujudan agensi seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun). Saya kesal dengan tindakannya itu apatah lagi sebagai naib presiden parti.
"Jika begini sikap pemimpin PKR, tidak mustahil jika mereka berpeluang memerintah negara ini pasti agensi yang mengutamakan orang Melayu dan Bumiputera dihapuskan demi kononnya mahu menyamaratakan dengan kaum lain," katanya.
Surendran dalam kenyataannya mempersoalkan kewibawaan Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan dan membangkitkan kemarahan golongan Bumiputera kononnya pengumuman Perdana Menteri menyentuh kebebasan asasi rakyat.
Khairy turut mempersoalkan adakah kenyataan Surendran itu merupakan kenyataan rasmi parti atau peribadi.
Katanya, sekiranya kenyataan itu adalah daripada PKR, Khairy mencabar Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengumumkan kenyataan Surendran itu sebagai kenyataan rasmi tetapi jika tidak maka Anwar digesa menasihati Surendran untuk membuat permohonan maaf secara terbuka.
Ketua Pemuda Umno itu berkata, Surendran sewajarnya tidak membuat kenyataan seperti itu kerana menjadikan rakyat melihat pemimpin PKR yang juga seorang peguam tidak memahami Perlembagaan Persekutuan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan