Jumaat, 20 September 2013

Pencabar Khairy Nafi Jadi Calon Proksi



Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi


KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda Umno Cawangan Bendang Baru, Langkawi, Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi menafikan beliau merupakan proksi kepada mana-mana pihak bagi mencabar kedudukan Khairy Jamaluddin sebagai penyandang Ketua Pemuda Umno Malaysia.

Tegas Akhramsyah, beliau tidak mewakili 'kem' tertentu sebaliknya bertindak menawarkan diri berdasarkan permintaan akar umbi yang inginkan perubahan dalam Pergerakan Pemuda.

"Tidak, tidak...saya tidak berada di kem mana-mana pihak.

"Kalau nak katakan saya sebagai proksi, ya...saya memang proksi akar umbi yang mahukan perubahan," katanya pada sidang media di Bangsar, Jumaat.

Sebelum ini timbul dakwaan yang mengatakan keputusannya menawarkan diri bertanding menentang Khairy merupakan agenda politik yang dikaitkan dengan pertembungan dua bekas Presiden Umno iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Penyertaan Akhramsyah mendapat restu Badan Perhubungan Umno Kedah yang dipengerusikan Datuk Mukhriz Mahathir.

Pada Khamis Akramsyah yang juga anak kepada bekas Setiausaha Agung dan Naib Presiden Umno, Tan Sri Sanusi Junid, diperkenalkan Umno Kedah kepada penyokong dan perwakilan parti bersama 11 lagi calon yang akan bertanding merebut beberapa jawatan dalam Pemuda, Wanita dan Puteri.

Akramsyah memiliki Ijazah Sarjana Kejuruteraan Kimia dari Imperial College di London.

Sehingga kini, pertandingan merebut jawatan Ketua Pemuda Umno menyaksikan saingan tiga penjuru selepas bekas Ketua Pemuda Umno Bahagian Merbok, Karim Ali turut mengumumkan mencabar kedudukan Khairy.

Tiada ulasan: