Isnin, 16 September 2013

Pelan Pendidikan kucar-kacir, tumpu pengajian BI – Bekas guru

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR : Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang dilancar Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin terus mendapat kritikan pelbagai pihak.

Terbaharu, bekas Presiden Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Datuk Nordin Mahmud menyifatkan pelan itu lebih tertumpu kepada pengajaran dan pembelajaran dalam Bahasa Inggeris serta tersasar daripada pelan pendidikan kebangsaan.

Menurutnya, syarat kelulusan Bahasa Inggeris (BI) untuk Sijil Pelajaran Malaysia pula memberi isyarat penekanan lebih meluas terhadap pembelajaran dalam Bahasa Inggeris.

NordinMahmood

“Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) lebih sesuai dinamakan Pelan Pembangunan Bahasa Inggeris kerana dalam laporan itu menyarankan tiap-tiap murid harus fasih dalam dua bahasa, iaitu Melayu dan Inggeris.

“Bila Bahasa Inggeris (BI) diutamakan, Bahasa Melayu akan dipinggir. Syarat lulus BI pada 2016 akan memastikan semua sekolah menekankan BI sebagai keperluan (keutamaan) pembelajaran menjelang 2016.

“Ini seolah-olah mengembalikan sistem pendidikan kepada PPSMI yang menggalakkan penguasaan BI dalam Sains dan Matematik,” katanya kepada Keadilan Daily.

Kata Nordin lagi, PPSMI sebagaimana diakui kerajaan telah menyebabkan 500,000 pelajar tercicir dalam Sains dan Matematik seperti diumumkan Kementerian Pelajaran pada waktu itu.

Beliau turut mempertikaikan peranan sekolah berbahasa pengantar Inggeris yang tidak disentuh dalam PPPM. Katanya, laporan dan pelan itu seolah-olah menggalakkan pembelajaran dalam Bahasa Inggeris.

“Jika dahulu 40 peratus sahaja kuota rakyat boleh menyertai sekolah ini tetapi mulai dua tahun lalu, syarat ini telah ditarik balik dan semua rakyat Malaysia layak memasuki sekolah itu. Bererti wujudnya sekolah aliran Inggeris dalam negara ini, dan jelas menjadi pesaing kepada aliran sekolah kebangsaan,” katanya.

Tiada ulasan: