Jumaat, 20 September 2013

Pelajar Universiti Adelaide tak mahu gelanggang nama Taib Mahmud

OLEH HASBULLAH AWANG CHIK
 

























Sebuah kempen dilancarkan oleh pelajar Universiti Adelaide yang mahu nama gelanggang Tan Sri Abdul Taib Mahmud (gambar) di universiti mereka ditukar nama.

Hari ini, pelajar universiti berkenaan berhimpun bagi menarik perhatian pihak universiti dan orang ramai untuk mendengar tuntutan mereka.

Lizzie Taylor, salah seorang penganjur perhimpunan dan ahli kepada Persatuan Persekitaran Pelajar Australia menerangkan tujuan perhimpunan tersebut: "Kami berharap dengan perhimpunan pelajar akan meningkatkan kesedaran siapa Taib dan mengapa universiti tidak perlu membanggakan orang sepertinya.

  "Kami tidak mahu menerima dana daripada orang yang mengabaikan hak asasi manusia di Sarawak begitu juga terlibat dengan penggondolan hutan serta syarikat keluarganya, Ta Ann di Tasmania".

Taib menyumbang kali pertama kepada universiti itu pada 1987, enam tahun selepas menjadi Ketua Menteri. Taib kemudian dianugerahkan ijazah kedoktoran dari univetsiti itu pada 1994 atas sumbangan besarnya.

Pada 2001, Taib menyumbang $300,000 dua kali ganda daripada gaji tahunannya kepada universiti.
Pada 2008, Universiti Adelaide menamakan satu ruangan di universiti itu dengan nama Gelanggang Taib Mahmud.

Baru-baru ini Naib Canselor merangkap presiden kepada universiti itu mengucapkan terima kasih kepada Taib atas kemurahan hatinya menyumbang sejak beberapa tahun lalu.

Seorang ahli majlis perwakilan pelajar universiti itu, Yasmin Martin menzahirkan penolakan pelajar yang tidak mahu universiti terlibat dengan Taib.

"Perhimpunan hari ini jelas menunjukkan penolakan pelajar terhadap sumbangan Taib kepada Universiti Adelaide.

"Nilai dan perlakuan Taib Mahmud tidak selari dengan nilai pendidikan tinggi seperti Universiti Adelaide dan universiti mesti mengasingkan dari pengaruh Taib.

"Banyak graduan lain yang hebat boleh dijadikan sandaran dan sememangnya jauh berbeza dari Taib. Kami akan meneruskan kempen ini sehingga mendapat perhatian universiti dan nama gelanggang itu digantikan dengan seorang tokoh yang lebih terhormat," katanya.

Tiada ulasan: