Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel tidak akan bertanding bagi jawatan tertinggi dalam parti itu pada 2016.
  
Sebaliknya, kata beliau, Timbalan Presiden Datuk Seri Dr S. Subramaniam, yang juga Menteri Kesihatan, akan dicalonkan bagi jawatan itu.

Pada 1 September, Palanivel, yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, berkata beliau mungkin terus menyandang jawatan presiden MIC selepas penggal sekarang berakhir pada 2016.
  
Palanivel berkata demikian selepas Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Pemilihan Presiden MIC Tan Sri K. Kumaran mengumumkan beliau menang tanpa bertanding bagi jawatan presiden parti setelah mendapat 617 pencalonan, jauh melebihi minimum 50 pencalonan yang disyaratkan.
  
Dalam kenyataan hari ini, Palanivel berkata: "Perkara paling penting ialah membawa pembaharuan terhadap parti agar wujud demokrasi yang lebih meluas.

"Sebagai contoh, cara lama perlu diamalkan kembali iaitu mengadakan pemilihan bagi jawatan pengerusi negeri, berserta penyandang jawatan lain.

"Begitu juga, pengerusi cawangan MIC negerilah yang sepatutnya memilih anggota jawatankuasa kerja pusat bagi negeri masing-masing.
  
"Tidak wajarlah anggota perwakilan yang menghadiri Persidangan Agung Tahunan MIC mengundi untuk memilih anggota jawatankuasa kerja pusat bagi negeri lain," katanya.
  
Beliau berkata pemilihan presiden, timbalan presiden dan naib presiden patut diadakan serentak pada setiap tiga tahun, manakala pemilihan pengerusi negeri, cawangan dan bahagian diadakan dua tahun sekali.
  
"Oleh itu, pengerusi cawangan, bahagian dan negeri serta penyandang jawatan lain boleh memulakan pemilihan pada 2015, dan pada 2016, pemilihan bagi jawatan tertinggi parti boleh dibuat pada waktu yang sama.
  
"Perlembagaan berkaitan pemilihan boleh dipinda berdasarkan cadangan ini," kata Palanivel sambil menambah bahawa beliau akan membentuk sebuah jawatankuasa untuk mengkaji pindaan berkenaan.
  
Melalui perubahan ini, hubungan secara terus dengan anggota akan dapat diwujudkan dan boleh menguatkan lagi kedudukan pemimpin serta parti," katanya.- Bernama