Selasa, 3 September 2013

Najib umum lewat, huru hara di stesen minyak

Wan Fariz Izudin,

Kenaikan harga minyak seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak petang semalam memang telah dijangka oleh kebanyakan rakyat Malaysia.

Jangkaan ini berdasarkan pelbagai janji-janji baru seperti kenaikan jumlah Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) untuk tahun hadapan, kenaikan tahunan dua kali kakitangan awam pada tahun ini serta janji-janji yang lain.

Kenaikan-kenaikan ini sudah tentu memerlukan pengorbanan oleh rakyat secara keseluruhannya kerana kerajaan perlu meningkatkan atau paling tidak mengekalkan pendapatan tahunan agar negara dapat diurus dengan baik.

Apa yang diberikan kepada segelintir golongan perlu diganti dengan sesuatu, seperti kenaikan cukai ataupun seperti apa yang semua rakyat Malaysia hadapi kini, iaitu kenaikan petrol RON 95 serta diesel sebanyak 20 sen.

Kenaikan ini mungkin perlu untuk mengekalkan momentum serta kestabilan ekonomi negara. Mungkin ramai yang merungut dengan kenaikan ini yang sedikit membebankan, dan dalam masa yang sama memungkinkan kenaikan harga perkhidmatan serta barangan dalam masa terdekat.

Namun, ini semua adalah percaturan ekonomi yang mungkin orang seperti saya ini tidak begitu arif.

Namun apa yang dikesalkan adalah cara dan masa pengumuman tersebut dibuat yang telah sedikit sebanyak mencetuskan seolah-olah ‘panic attack’ di kalangan majoriti rakyat Malaysia.

Saya dapati di Shah Alam, kenderaan telah berpusu-pusu ke semua stesen petrol untuk mengisi petrol sejak daripada jam 7 malam berlarutan sehinggalah ke jam terakhir iaitu 11.59 minit malam.

Kesesakan berlaku di hampir semua stesen petrol di Shah Alam sehingga menyukarkan pengguna-pengguna yang memang kehabisan petrol untuk mengisi petrol mereka.

Ini kerana pengguna-pengguna lain yang masih mempunyai baki petrol melebihi separuh telah berpusu-pusu untuk mengisi petrol penuh akibat kenaikan 20 sen ini.

Saya yang mempunyai baki petrol kurang separuh kelmarin, tidak sanggup menunggu lama dalam kesesakan ini lantas kembali semula selepas jam 12 malam untuk mengisi petrol. Namun, apa yang mendukacitakan saya ialah hampir semua stesen petrol di Shah Alam telah kehabisan bekalan dan ditutup awal.

Pada pagi ini, Selasa 3hb September 2013, dengan bekalan petrol yang amat terhad untuk ke pejabat, saya telah mencuba ke stesen petrol di luar Shah Alam, namun, keadaan sama juga berlaku iaitu stesen petrol kehabisan bekalan. Mengapa ianya boleh terjadi sebegini?

Pendapat saya adalah ini semua kerana kelewatan kerajaan menyampaikan maklumat mengenai kenaikan harga petrol tersebut. Kelewatan yang mencetuskan huru hara kepada rakyat. Kelewatan ini menyebabkan kesusahan kepada orang seperti saya yang benar-benar kehabisan petrol.

Apakah kerajaan tidak sedar atau tidak peka kepada keadaan seperti ini? Adakah kerajaan atau wakil-wakil dalam kerajaan seperti para menteri tidak pernah melihat keadaan sebegini berlaku di setiap stesen petrol di seluruh negara setiap kali kenaikan petrol diumumkan?

Ini berpunca akibat kelewatan pengumuman kenaikan tersebut kepada rakyat.

Apakah sebenarnya motif kerajaan membuat pengumuman sebegini lewat? Hanya kerajaan sendiri dapat memberikan jawapan.

Namun, saranan saya demi mengelakkan perkara sama berulang ialah agar kerajaan dapat membuat pengumuman sehari atau dua hari lebih awal dan bukannya 6 jam sebelum masa kenaikan.

Ini membolehkan rakyat merancang pengisian petrol terakhir mereka sebelum kenaikan berkuat kuasa tanpa mencetuskan ‘panic attack’ atau keadaan huru hara ini.

Saya mengharapkan kerajaan yang prihatin yang mana slogan ‘Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan’ menjadi paksi perjuangan, akan terus memikirkan cara, kaedah serta masa terbaik untuk membuat pengumuman seperti ini demi kesenangan serta kemudahan rakyat jelata.

Tiada ulasan: