Sabtu, 21 September 2013

Mukhriz optimis peluang menang, bukan proksi Mahathir

 


 
 
Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir merasakannya beliau mempunyai peluang untuk memenangi salah satu daripada tiga kerusi naib presiden Umno yang ditandinginya.

Berdasarkan perkiraannya, beliau mempunyai peluang 50-50 untuk menang.

"Secara teknikalnya ia 50-50 kerana ada enam calon.

"Saya rasa saya optimis dengan berhati-hati, tapi kena juga berkempen dan kena kenal seramai mungkin perwakilan dan terangkan kepada mereka kenapa saya buat ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan borang pencalonannya petang tadi.

Menjawab soalan wartawan, walaupun tiga penyandang sekarang dilihat seperti satu pasukan apabila hadir bersama menyerahkan borang mereka, Mukhriz tetap optimis dengan peluangnya.

Menurutnya, beliau sebenanrnya hanya perlu merebut satu daripada tiga kerusi naib presiden dan bukannya menewaskan ketiga-tiga mereka.

"Bukan niat saya untuk kalahkan semua orang. Hasrat saya cuma untuk menjadi salah seorang daripada tiga (naib presiden), dengan gandingan untuk membantu presiden dan timbalan presiden," katanya.

Beliau turut menjelaskan yang laluannya dalam politik dilakar beliau sendiri dan bukan bergantung kepada ayahnya Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Karier politik saya ada naik turun. Kalau orang kata saya proksi beliau, sudah tentu  laluan politik saya mudah.

"Pertama kali saya tawar diri jadi ketua pemuda  Umno Kubang Pasu yang beliau sendiri adalah  ketua bahagian selama 35 tahun, saya kalah," katanya.

Tiada ulasan: