Khamis, 19 September 2013

Muhyiddin umum pertahan jawatan nombor 2

SINAR HARIAN
Muhyiddin Yassin 
 Muhyiddin Yassin.
PUTRAJAYA - Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan hasratnya untuk mempertahankan jawatan beliau sebagai Timbalan Presiden Umno dan menawar diri untuk dipilih semula ke jawatan itu pada pemilihan parti Oktober ini.
  
Ini kerana, kata timbalan perdana menteri, beliau berpendapat masih mampu melaksanakan tugas serta tanggungjawab yang diamanahkan.
  
Katanya sejak memegang jawatan sebagai Timbalan Presiden pada pemilihan lepas, beliau diberi amanah besar, seperti menguruskan jawatankuasa pengurusan parti, memantau pilihan raya, di samping berusaha memantapkan parti Umno dan BN di semua peringkat, bagi mengukuhkan kerajaan dan meningkatkan perpaduan rakyat.
  
Beliau seterusnya menyatakan sokongan padu kepada Datuk Seri Najib Tun Razak untuk terus mempertahankan jawatan sebagai Presiden parti dan bertekad untuk terus membantu kepimpinanya.
  
"Saya sendiri akan menjadi pencadang kepada beliau dalam borang (pencalonan) yang akan diserahkan pada 21 Sept ini," katanya dalam persidangan media di kediaman rasminya di Sri Satria di sini hari ini.
  
Dengan keputusan itu Muhyiddin meminta kerjasama, bantuan dan sokongan daripada rakan serta seluruh anggota parti, khususnya para perwakilan untuk membantunya, agar apabila dipilih nanti, beliau akan dapat meneruskan tugas dan tanggungjawabnya demi kepentingan orang Melayu, rakyat Malaysia, negara, bangsa, dan agama.

Tiada ulasan: