Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM)
SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan digesa tidak mengubah terlalu banyak kurikulum subjek Bahasa Inggeris yang telah dipraktikkan sekian lama dalam memastikan kelangsungan penguasaan bahasa kedua itu dikalangan pelajar.
Bekas Penolong Kanan 1 Sekolah Kebangsaan Seksyen 18, Shah Alam, Roziah Jali berkata, sebaliknya kementerian disarankan menimba kaedah pengajaran dahulu untuk memastikan pelajar mempunyai kemahiran tinggi dari segi penulisan dan percakapan dalam bahasa Inggeris.
Pelajar layak mencapai setinggi mana ilmu yang dituntut dan bukannya sewenang-wenangnya menukar sistem kerana sistem yang ada sudah cukup berilmu dan berdaya saing.
"Namun, kurikulum yang sedia ada masih perlu ditokok tambah dan dimurnikan dari masa ke semasa," katanya kepada Sinar Harian Online.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai keputusan Kementerian Pendidikan yang akan menetapkan bahasa Inggeris sebagai kertas wajib lulus di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula 2016 sebagai usaha memastikan setiap murid menguasai kemahiran bahasa Inggeris.
Minggu lalu, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat pengumuman tersebut ketika melancarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.
Menurut Muhyiddin, bagi membantu murid memenuhi keperluan itu, Kementerian Pendidikan akan melaksanakan Sistem Set iaitu membahagikan guru kepada kumpulan atau set tertentu bagi membolehkan mereka merangka pendekatan pedagogi yang sesuai dengan tahap kemahiran dan keperluan pembelajaran murid.
Sementara itu, tambah Roziah yang telah mengajar subjek Bahasa Inggeris selama 35 tahun, beliau berkata, sekiranya pihak kementerian konsisten dalam apa yang dilaksanakan dapat membantu murid menguasai dan mempraktikkan bahasa kedua itu dalam kehidupan seharian dengan baik.
Tambah beliau, sepanjang pengalamannya menjadi guru, ada di kalangan bekas pelajar beliau memberitahu, kebanyakan pelajar Malaysia yang menyambung pelajaran di luar negara sangat dikagumi prestasi penguasaan bahasa Inggeris mereka yang cemerlang.
"Malahan, kebanyakan pelajar Malaysia mampu menduduki kedudukan 'top 10' di universiti luar negara.
"Pelajar kita bukan sahaja maju bahkan mencapai kecemerlangan yang patut dibanggakan," tambahnya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai perbezaan pengajaran subjek Bahasa Inggeris pada zaman dahulu, katanya pada tahun 1950an hingga 1960an, ia hanya diajar di sekolah-sekolah rendah dan menengah mubalik Kristian seperti Sekolah Convent, Sekolah St Patrick, St John, St Mary, St Anne serta sebagainya.
"Guru-guru yang mengajar di sekolah berkenaan juga didatangkan dari England dan yang mendapat latihan pengajaran di negara berkenaan.
"Teknik pengajaran yang diberi termasukah penekanan khusus terhadap penggunaan tatabahasa yang betul yang memerlukan murid mengeja, membaca dan menulis termasuk latih tubi membuat ejaan setiap hari," jelasnya.
Mengulas lanjut mengenai teknik pengajaran pula, kata Roziah, sebagai guru bahasa Inggeris, beliau turut memberi penekanan dalam latihan mengarang dan meringkaskan karangan kepada muridnya.
"Kurikulum dahulu juga lebih mendalam termasuk membaca dengan intonasi yang betul.
"Bahasa Inggeris mempunyai loghat bahasa mengikut dilek bangsa," katanya.
Katanya lagi, berdasarkan pengalaman beliau mengajar murid yang terdiri daripada pelbagai bangsa, terdapat segelintir muridnya yang berbangsa India dan Cina mempunyai sedikit kelemahan menyebut sebutan-sebutan tertentu.
"....tetapi berbeza dengan murid Melayu yang dapat menunjukkan kemahiran yang sangat baik dalam sebutan perkataan bahkan boleh meniru betul-betul sebutan bahasa Inggeris seperti orang Inggeris.
"Mengajar bahasa Inggeris memerlukan penumpuan lebih guru kepada muridnya dan menuntut tahap kesabaran yang tinggi kepada golongan pendidik.
"Ia adalah satu matapelajaran yang menarik dan memerlukan kemahiran tinggi dari guru yang mengajarnya dalam memastikan kualiti seperti yang diharapkan," katanya.
Tambahnya, adalah menjadi perkara biasa sekiranya sistem pendidikan di Malaysia untuk mengalih paradigma mengikut peralihan menteri yang baru menerajui kementerian pelajaran akan mengalih dasar-dasar yang dianggap perlu.
Namum nasihat beliau, bagi menteri yang berorentasikan aliran Melayu, tidak patut meniru atau mengubah sesuatu dasar misi, visi atau sesuatu piagam pelajaran yang diadakan di sekolah.
Ini kerana katanya lagi, setiap perubahan melibatkan beban kewangan kepada ibu bapa kerana terpaksa membeli buku-buku yang ditukar kepada edisi baru.
"Tanpa ibu bapa sedar, ada pihak-pihak yang mengaut keuntungan di sebalik setiap perubahan yang dibuat," katanya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan