KOTA BHARU - Wanita korporat pertengahan usia, merupakan antara pelanggan utama klinik swasta yang diserbu Cawangan Penguat kuasa Farmasi Jabatan Kesihatan Kelantan, 20 Ogos lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Maher berkata, mereka  mengunjungi klinik swasta berkenaan untuk mendapatkan khidmat suntikan Vitamin C yang didakwa mampu membuat seseorang cantik dan awet muda.

“Berdasarkan Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, seorang doktor klinik swasta tidak dibenarkan menawarkan khidmat suntikan Vitamin C kepada pelanggan.

“Vitamin C tidak boleh disuntik kepada seseorang kerana ubatan secara suntikan untuk kecantikan itu tidak didaftarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), menyebabkan kita membuat serbuan dan merampasnya,” katanya.

Dr Ahmad Razin  berkata, merujuk kepada laman web Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan, tiada suntikan Vitamin C didaftarkan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah KKM.

Beliau berkata, dua jenis kategori Vitamin C yang dibenarkan pendaftarannya oleh pihak KKM, ialah vitamin C dalam bentuk tablet dengan nombor pendaftaran MAL diakhiri huruf N dan ekstrak vitamin C yang dimasukkan di dalam produk kosmetik seperti gel, krim, pembersih muka dengan nombor pendaftaran dimulai dengan NOT dan diakhiri huruf K.

“Pengamal perubatan swasta diingatkan supayamenghormati profesion mereka dan  tidak menjual sebarang produk tidak berdaftar dengan KKM.

"Selain itu, ia menjadi contoh kepada masyarakat supaya menggunakan produk selamat dan berkualiti serta berdaftar dengan KKM.

“Malah, pengamal perubatan swasta juga dinasihatkan tidak memenuhi permintaan pelanggan  yang mahukan suntikan Vitamin C ke dalam badan mereka walaupun Vitamin C itu milik pesakit sendiri.

“Suntikan vitamin C  yang  dilakukan sendiri oleh pesakit atau individu tidak bertauliah sangat bahaya kerana boleh menyebabkan keradangan pada tapak suntikan  itu," katanya.

Menurutnya, selain daripada bahaya tersebut tindakan itu juga boleh menyebabkan jangkitan kuman kepada seseorang itu.

Dr Ahmad Razin berkata, pihaknya tidak teragak-agak mengambil  tindakan undang-undang  terhadap mana-mana pengamal perubatan moden klinik swasta yang menawarkan khidmat suntikan Vitamin C dan menjual viagra tiruan.

Kesalahan adalah mengikut Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952 , yang mana  jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM 25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.