Ahad, 15 September 2013

Kisah Pak Samad dan 'rojaknya sekolah' pasca PPSMI...


Oleh Lanh 


DATO' A Samad Said atau lebih mesra dengan panggilan Pak Samad 'bukanlah asing' bagi diri saya. Saya pernah bekerja sebumbung dengannya ketika di NSTP pada tahun-tahun 1980-an dulu.

Kini pada ketika Pak Samad difitnah dan dilempar pelbagai tuduhan jelek termasuk pengkhianat negara, saya mengimbau catatan saya mengenai beliau di samping menelusuri usahanya dalam mengepali bantahan terhadap Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) yang sehingga kini isunya bagaikan 'duri dalam daging' yang bila-bila masa boleh meletup.

 Tetapi ia senyap saja sekarang ini kerana pembantah PPSMI mungkin sudah terlena dengan janji manis pemimpin kerajaan.

Dalam buku saya 'Dilema Seorang Wartawan Islam' saya mencatat: "Beberapa hari selepas memasuki Berita Harian, Yunus Said (ketika itu Penolong Pengarang Berita dan menjadi terkenal selepas meletakkan jawatan sebagai Pengarah Operasi TV3), memanggil saya ke meja kerjanya.

"Beliau memberi nasihat yang mungkin tidak akan saya lupakan sepanjang hayat. Katanya: "Kamu ingat kamu nak jadi Samad Said ke?" merujuk kepada Sasterawan Negara, A Samad Said. Beliau berkata demikian bagi menyindir cara saya bekerja yang dakwanya macam tokoh besar dunia kesusasteraan itu.

"Saya mula mengenali nama A Samad Said sewaktu bersekolah lagi. Novelnya 'Salina' menarik perhatian saya. Kata Yunus: "Kalau awak buat kerja, temenung sana, temenung sini, bila kerja kamu nak siap? Kerja ni (buat berita) bukan macam buat buat novel, buat cerpen. Buat kerja sikit, kemudian berhenti - minum kopi, temenung dan kemudian temenung lagi. Besok pun termenung lagi."

Ya, ketika zaman awal saya di NSTP kerap benar saya melihat Pak Samad duduk-duduk di kafeteria NSTP; biasanya santai sekali dia bersa

ma isteri keduanya, Kak Rashidah Md Dahan. Sesekali timbul juga rasa 'jeolous' di hati 'orang bujang macam saya' (ketika itulah)! Ehh, intim sekali 'orang tua berjanggut' ini dengan 'pasangannya', desir hati saya...

Sebagai anak seni yang halus jiwanya mengerti rentak suara hati rakyat kerana kerap benar beliau menelusuri lorong dengan berjalan kaki hanya bersandal atau berselipar serta menaiki bas awam, 'respek' (perkataan 'baru' yang saya perasan digunakan ketika sambutan Hari Wanita...respek wanita, apa tak boleh dipakai hormati wanita?) saya kepada Pak Samad bertambah jitu akhir-akhir ini apabila mengenang 'orang tua' ini sanggup mengharung derita bersama rakyat marhaen termasuklah dalam isu PPSMI.

Atas kepimpinan tokoh-tokoh seperti Pak Samad dan bekas Ketua Pengarah DBP, Dato' Dr Hassan Ahmad (kini Allahyarham); PPSMI dimansuhkan (atau lebih tepat lagi 'digantung tak bertali') selepas diadakan satu bantahan besar-besaran di KL pada 7 Mac 2009 yang dianggarkan dihadiri 100,000 orang.

Namun orang politik bijak bersandiwara; PPSMI sebenarnya tidak dimansuhkan serta merta tetapi disediakan landasan 'soft landing', demikian umum Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membolehkan Umno-BN terus mendapat sokongan kedua-dua pihak yang membantah dan menyokong PPSMI.

Kata Muhyiddin PPSMI akan hanya dimansuhkan sepenuhnya di sekolah rendah pada 2016 manakala di sekolah menengah pada 2021. 'Soft landing' yang dikatakan oleh Muhyiddin yang memberi sekolah kebebasan penuh untuk menentukan sama ada untuk terus menggunakan bahasa Melayu atau bahasa Inggeris dalam pelaksanaan program PPSMI sehingga kohort terakhir tamat pada 2015 (sekolah rendah) dan 2020 (sekolah menengah).

Muhyiddin dilihat sebagai tunduk kepada kedua-dua pihak yang menentang dan menyokong PPSMI, mungkin bagi kepentingan politik diri dan partinya; seolah-olah memberikan situasi menang-menang (win-win situation) yang diharapkan dapat memuaskan Gerakan Menentang PPSMI (GMP) dan juga kumpulan pro-PPSMI yang digerakkan oleh Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan (Page) yang diterajui oleh Datin Noor Azimah Abdul Rahim.

Berdasarkan perkembangan semasa; Page dilhat semakin lantang dan ke depan sedangkan GMP kelihatan 'agak senyap'. Ingatlah kata pemutus belum ada lagi mengenai PPSMI...ya perjuangan kita belum selesai!

Kini pada ketika Pak Samad dituduh pengkhianat, saya cuba-cuba meninjau-ninjau pembelajaran Sains dan Matematik di sekolah pada 'pasca' PPSMI. Terperanjat saya, ada sekolah mengajar dalam bahasa Inggeris saja, ada sekolah dalam bahasa Melayu saja dan ada sekolah dalam 'bahasa rojak' (Inggeris dan Melayu). Di sekolah Cina dan Tamil, tidaklah saya tahu keadaannnya.

Bagi tujuan peperiksaan, kertas Sains dan Matematik disediakan dalam dwi-bahasa dan apabila menyemak salah satu kertas itu pada panduannya ada ditulis: "Kamu dibenarkan menjawab keseluruhan atau sebahagian soalan sama ada dalam bahasa Inggeris atau Melayu."

Bercelaru dan 'rojak' sungguh sistem pendidikan kita sekarang ini; yang cukup saya bimbang nasib pelajar-pelajar kita. Sebagai contoh jika di sekolah rendah terutama di luar bandar, murid belajar dalam bahasa Melayu sepenuhnya tetapi apabila ke sekolah menengah (terutama sekolah berasrama penuh) yang memilih bahasa Inggeris sepenuhnya, tidaklah mudah untuk pelajar 'catch up'. Sengaja saya guna ungkapan bahasa Inggeris ini bagi menunjukkan betapa 'rojak'nya diri termasuk sistem pendidikan kita.

Ya, 'kerojakan' (kecelaruan dan kepincangan) yang berlaku sekarang ini perlu ditentang kita semua; tidak wajar kita bebankannya lagi di bahu Pak Samad sekalipun semangat 'merakyatnya' tetap berkorbar-kobar dan sentiasa menyala. Mana pejuang-pejuang muda kita; ayuh kita kibarkan bendera di atas puing-puing runtuhan kota Melaka!

Tiada ulasan: